Kembali lagi kita dalam isu tahunan berkenaan penutupan sekolah vernakular. Pada musim kali ini, ia dicetuskan oleh tidak lain tidak bukan parti yang berasaskan bangsa sendiri iaitu UMNO. Aku pun tak tahu nak cakap apa lagi pasal isu ini. Aku rasa isu ni antara isu yang paling galak aku ulaskan, dengan beberapa entri yang agak panjang aku titipkan. Namun begitu, sudah tentulah golongan ini yang tidak mahu membaca dan hanya mahu memainkan sentimen perkauman saja terus-menerus memainkan isu ini. Tak dikira sebagai 3R pula ya? Kemudian, apabila digasak semula dengan seruan untuk UiTM dibuka kepada semua kaum dan sekolah agama juga dimansuhkan, golongan ini akan merentan seolah-olah seruan itu datang secara tiba-tiba dan bukannya natijah daripada tindakan kebudak-budakan mereka.
Aku tidak berhasrat untuk mengupas benda yang aku dah kupas. Entri ini tujuan utamanya adalah untuk menyedarkan rakyat untuk berhenti termakan dengan sentimen yang sedang dimainkan oleh UMNO, yang berkemungkinan besar bertujuan untuk menutup isu-isu yang sedang menyelubungi parti mereka. Dalam kita bersembang mengenai penutupan sekolah vernakular, ramai dalam kalangan ahli UMNO sendiri atau saudara-mara mereka bersekolah di sekolah antarabangsa mahupun belajar di universiti luar negara. Jika sistem sekolah pelbagai aliran merupakan penghalang utama kepada perpaduan nasional, kenapa berhenti setakat sekolah vernakular saja? Bahkan sekolah antarabangsa menggunakan silibus dari luar negara, jauh lebih asing daripada SJK yang masih ikut kurikulum tempatan. Jawapannya mudah, kerana kepentingan mereka tergugat apabila semakin ramai anak-anak Bumiputera belajar di SJK, sehinggakan ada SJK (C) yang murid tahun satunya tiada langsung berbangsa Cina. Selain itu, mereka juga tidak bersembang mengenai sekolah antarabangsa yang semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan elit kerana kepentingan mereka akan terjejas.
Persoalan utama yang perlu ditanya oleh individu rasional apabila sentimen sebegini dimainkan adalah, dari mana datangnya kesimpulan bahawa sekolah vernakular menjadi penghalang kepada perpaduan? Setiap polisi yang dilaksanakan mestilah berdasarkan fakta dan data, bukan anggapan dan persepsi semata-mata. Aku lihat UMNO berpegang teguh dengan idea ini. Walau bagaimanapun, ada beberapa tindakan mereka yang bertentangan dengannya. Tahukah anda bahawa pada suatu ketika dahulu, mereka pernah menjanjikan untuk mewujudkan semula sekolah aliran Inggeris dalam manifesto pilihan raya mereka? Tidak cukup dengan itu, Presiden mereka pada ketika ini juga pernah mengusulkan pewujudan sekolah vernakular khusus buat golongan Bumiputera. Persoalannya, di manakah puak-puak terpaling anti-sekolah vernakular dan pro-perpaduan ini ketika idea ini diutarakan? Walhal idea untuk mewujudkan SJK (B) itu sendiri lebih teruk kerana ingin mewujudkan sebuah sekolah berasaskan bangsa, berbeza dengan SJK yang kini berasaskan bahasa.
Ya! Berbeza dengan tanggapan umum, SJK bukanlah dibahagikan mengikut bangsa. Jadi tidak timbul isu berkenaan percampuran antara kaum seperti yang didakwa oleh EXCO Pemuda UMNO. Percampuran memang sudah wujud. Itu sebabnya SJK (Tamil) digelar sedemikian dan bukannya SJK (India). Orang Melayu boleh sahaja belajar di SJK. Dalam perihal ini aku memuji sesuatu yang jarang dibuat oleh wartawan iaitu memperbetulkan "fakta" yang dikemukakan oleh EXCO Pemuda UMNO dalam kenyataannya yang seolah-olah memberi gambaran bahawa kewujudan SJK mengasingkan murid mengikut bangsa, walhal itu bukan kebenarannya. EXCO Pemuda UMNO ini sepatutnya berasa malu kerana ditegur secara tidak langsung dan halus oleh wartawan Malaysiakini. Tidak lupa juga bagaimana kenyataan tersebut membuatkan seolah-olah SJK mempunyai kurikulum yang berlainan dengan SK. Perkara ini sudah lama dibuktikan salah oleh Menteri Pendidikan, namun, EXCO Pemuda UMNO ini tanpa segan silu menyebarkan maklumat palsu demi meraih populariti murahan dan sokongan.
Institusi pendidikan berasaskan bangsa ada beberapa di negara ini, dan yang pastinya, ia bukan SJK (C). Pernah dengar tentang Kolej Melayu Kuala Kangsar atau MCKK? Sekolah khas untuk orang Melayu, boleh dilihat pada namanya. Beritahu aku, kenapa sekolah ini masih wujud? Jika benar mereka mahu memansuhkan institusi pendidikan yang didakwa "memisahkan" kaum, kenapa tidak dimulakan dengan sekolah yang memang diwujudkan untuk bangsa tertentu seperti MCKK? Kenapa UMNO hanya obses dengan sekolah vernakular, tetapi langsung tidak berani menyentuh institusi-institusi yang lebih jelas berasaskan kaum?
Kewujudan sekolah vernakular bukanlah masalahnya—yang menjadi isu sebenar adalah kemerosotan kualiti sekolah kebangsaan. Ramai rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu, lebih memilih SJK (C). Peningkatan jumlah pelajar Melayu di sekolah Cina membuktikan bahawa ibu bapa lebih mengutamakan kualiti berbanding faktor kaum. Jika sekolah kebangsaan mampu menyaingi SJK(C) dari segi kualiti, ibu bapa sendiri akan memilih sekolah kebangsaan. Tidak perlu ada paksaan atau larangan. Tetapi malangnya, kerajaan tidak serius dalam meningkatkan kualiti SK. Sebaliknya, UMNO lebih gemar bermain sentimen perkauman untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar.
Sebenarnya, penghalang utama kepada perpaduan nasional di negara kita adalah UMNO dan parti-parti politik berasaskan bangsa itu sendiri. Kita boleh lihat bagaimana rakyat di bawah hidup aman sentosa meskipun didakwa sebaliknya kerana sekolah vernakular masih wujud. Orang Cina yang aku jumpa juga ramai saja yang fasih berbahasa Melayu, malah lebih fasih daripada sesetengah orang Melayu yang mendapat pendidikan Barat. Kita juga boleh melihat bagaimana di Sarawak, perpaduan antara kaum sangatlah erat. Apakah yang membezakan antara Malaya dan Sarawak? Kedua-dua wilayah mempunyai SJK. Jawapannya sudah tentulah parti yang dinamakan UMNO ini. Mahukan perpaduan? Bubarkan parti kalian dahulu. Sudah-sudahlah memainkan sentimen yang b*doh ini. Jika benar ingin memperbaiki sistem pendidikan, kemukakanlah cadangan dasar yang benar-benar kukuh dan berpandukan fakta. Kalau tidak mampu, diam sahaja.
Kepada rakyat, usah termakan dengan naratif memecahbelahkan ini. Ini merupakan taktik klasik golongan borjuis (elit) untuk mengalihkan perhatian kita daripada isu-isu yang lebih sistemik. Musuh kita yang sebenar bukan bangsa lain—tetapi golongan pemerintah yang menindas kita. Dengan memainkan sentimen perkauman, UMNO menghalang kita daripada bersatu menentang polisi-polisi yang mengekalkan status quo mereka, sementara mereka dan keluarga berseronok bersekolah di luar negara.
Jika mereka benar-benar serius akan isu ini, sekolah vernakular sepatutnya sudah lama dimansuhkan ketika mereka berkuasa selama lebih 60 tahun. Tetapi sentimen ini hanya dimainkan apabila mereka tidak lagi menguasai kerajaan sepenuhnya. Mereka sendiri tahu bahawa cadangan ini tidak realistik dan pra-matang, tetapi tetap mencadangkannya supaya kerajaan semasa kelihatan "pro-Cina". Hal ini seterusnya membantu mereka meraih undi golongan marhaen Melayu di samping mengalihkan perhatian rakyat daripada skandal rasuah dalam parti mereka sendiri. Jangan terperangkap dengan permainan mereka.
UMNO boleh terus menyalak tentang sekolah vernakular, tetapi rakyat semakin celik. Kita tahu bahawa ini hanyalah strategi politik murahan mereka untuk terus tampak relevan.
Akhir kata:
Nak perpaduan? Bubarkan UMNO dulu.