Friday, 3 January 2025

JURNAL PEMIKIRAN TAQEEM

Pemikiran 1

Ag*ma boleh jadi ancaman kepada kemanusiaan. Orang agama percaya kepada takdir dan hari kiamat. Ada antara mereka yang merasakan hari kiamat itu pasti, jadi tiada gunanya menjaga alam sekitar (misalnya). Kerana pada akhirnya, ia akan musnah jua. 

Pemikiran 2

Ramai jahil lagi rupanya yang mufti (apatah lagi bekas mufti) bukan maksum dan fatwa bukan hukum. Apabila wanita persoal "fatwa" yang dikeluarkan dikatanya mempersenda agama tetapi lelaki siap boleh tepis fatwa yang merokok itu haram tanpa menimbulkan kemarahan masyarakat. 

Pemikiran 3

Aku tak tahu bagaimana orang boleh rasa ia wajar dari segi moral untuk zakat diberikan kepada golongan yang mampu sedangkan golongan yang benar-benar memerlukan nak mohon zakat pun susah dek karenah birokrasi. Usah bersembunyi di sebalik hujah "fisabilillah" dan "layak". Ia tetap salah dari segi moral. "Just because you can, doesn't mean you should." Berselindung secara berterusan dan menyalahgunakan zakat melalui lompong ini mendedahkan Islam kepada dilihat sebagai agama yang tidak adil dan tidak serius dalam memperbaiki sosioekonomi masyarakat. Boleh rujuk teladan bagaimana Perdana Menteri tidak mengambil gaji meskipun beliau layak menerimanya. Daripada sibuk memberikan zakat kepada mereka yang kurang memerlukan, moleklah jika wang tersebut disalurkan ke arah usaha menyalurkan zakat secara terus kepada mereka yang perlu tanpa sebarang permohonan. Kita boleh marah orang kaya dapat subsidi petrol, tapi kita tak marah orang kaya dapat zakat. Kenapa?

Pemikiran 4

Fatwa pada hari ini mengabaikan pendapat mengenai hukum perkara yang mendatangkan mudarat signifikan kepada ummah seperti kapitalisme dan pemerdagangan agama. Sepatutnya perkara-perkara ini sudah lama difatwakan haram memandangkan kesan buruknya bukan kepalang. Pihak mufti hendaklah lebih proaktif dalam mengeluarkan fatwa yang diperlukan oleh dunia kini. 

Sebagai contoh lain, hukum mengenai penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) Generatif (GenAI) juga masih belum dikeluarkan. Apabila melibatkan isu vasektomi, ia dilarang kerana "mengubah ciptaan Allah". Bagaimana pula dengan AI dan robot? Adakah halal sedangkan ibarat mencabar Sang Pencipta?

Pemikiran 5

Penghalang utama perpaduan nasional di negara ini adalah parti politik berasaskan bangsa, kedudukan istimewa "Bumiputera" dan rasisme bangsa majoriti itu sendiri. Bukannya sekolah vernakular. Sedangkan golongan Bumiputera pun ada yang bersekolah di sekolah vernakular. Haramkan ahli politik dan parti yang memainkan isu perkauman, nescaya perpaduan di negara ini dapat ditingkatkan. Fokus sepatutnya diletakkan kepada meningkatkan kualiti sekolah kebangsaan. Lama-kelamaan, ramai yang akan memilih untuk bersekolah di sekolah kebangsaan, dan sekolah vernakular akan menjadi tidak relevan dengan sendirinya. Perpaduan nasional tidak boleh dipaksa, sebaliknya hendaklah dipupuk. Kemudian, bersediakah kita untuk menjadikan sekolah kebangsaan bersifat sekular? Kantin menjual babi dan makanan bukan halal? Tak payah pergi sampai ke situ, kantin dibuka semasa bulan puasa pun jadi isu.

Pemikiran 6

Kaum lelaki suka berlagak alim di hadapan kaum wanita dengan bersembang soal halal haram. Tapi sepanjang 21 tahun aku hidup, aku lihat bagaimana apabila di belakang wanita, tiada yang haram dalam kamus hidup mereka. Rokok, sembang lucah, merendah-rendahkan martabat wanita. Aku rasa kalau nak senarai tak cukup had patah perkataan.

Pemikiran 7 

Muslim suka gelar golongan yang tak sependapat dengan mereka sebagai kafir tapi apabila berlakunya kes murtad, mereka ini yang paling lantang membantah.

Pemikiran 8

Pemacu Isl*mof*bia bukanlah orang bukan Islam, sebaliknya Muslim sendiri. Cara berdakwah bukan main kasar.

Pemikiran 9

Budaya mengikut membabi butalah yang menjadi akar kepada permasalahan dalam kalangan umat Islam pada hari ini. Apa yang diajar di sekolah ditaati tanpa soal. Apabila dipersoal, dikatakan berdosa. Dan perkara ini disokong secara tidak langsung oleh umat Islam sendiri dengan mengalakkan budaya pak turut. Budaya ini juga perlu diselesaikan sebelum masyarakat kita berangan nak hapuskan sekolah vernakular. Usah sembang "Penganut tak mencerminkan agama." kalau saudara seagama buat onar, kalian anggap tak penting untuk ditangani. 

Pemikiran 10

Mereka yang pro-kawad kaki selalu menggunakan hujah bahawa ia melatih disiplin, tetapi "janji Melayu" adalah sesuatu, dan disiplin orang kita dari segi agama juga agak teruk. 

Pemikiran 11

Fatwa merupakan senjata kelas pemerintah untuk mengawal kelas pekerja. Hukum-hukum yang dikeluarkan jarang melibatkan mudarat yang lebih besar. Daripada menangani punca mengapa semakin ramai mahu lakukan prosedur vasektomi, tumpuan dialihkan kepada hukum prosedur itu sendiri. Jika institusi mufti tidak mahu dilihat sebagai alat pengawalan populasi, ia dan masyarakat Muslim sewajarnya mengalihkan tumpuan daripada isu yang kurang penting kepada isu yang lebih mustahak. 

Pemikiran 12

Perangai umat Islam yang anti SEPENUHNYA dengan sesetengah ideologi seperti sekularisme, liberalisme, feminisme, sosialisme dan sebagainya mencerminkan seolah-olah Islam menyokong ideologi yang bertentangan dengan ideologi-ideologi ini yang jauh lebih berbahaya. Jangan tanya mengapa agama kalian semakin tidak digemari ramai kalau semua ideologi yang mendatangkan manfaat termasuk kepada umat Islam sendiri dilabel sebagai "anti-Isl*m".

Pemikiran 13

Perbuatan sesetengah Muslim yang menolak sesuatu pendapat kerana ia dibuat berasaskan logik dan bukan dalil menampakkan agama itu seolah-olah anti-intelektualisme.

Pemikiran 14

Masyarakat kita sering mengada-ngadakan benda yang tiada dan menghiraukan benda yang ada. Misalnya, dikatakan feminis akan tetap menolak fatwa yang dikeluarkan oleh mufti wanita jika tidak menepati citarasa mereka. Walhal, perkara ini telah terlebih dahulu dilakukan oleh kaum lelaki yang menolak fatwa pengharaman rokok kerana tak kena dengan tekak mereka. Kalau nak pusinh kata tak tolak, berapa ramai lagi lelaki yang masih merokok? Ada teguran dibuat tak secara tekal dan kerap? Berbeza dengan vasektomi, merokok jauh lebih berbahaya bukan sahaja kepada diri, malah orang lain.

Pemikiran 15

Sebenarnya, individu yang suka berdebat secara terbuka pun boleh dilabelkan sebagai tidak matang. Mereka lebih suka berdebat dalam keadaan tertutup atau di hadapan penyokong yang memberikan sokongan berterusan, sehingga memberi rasa kuasa apabila mendapat tepukan atau pujian. Ketidakseimbangan kuasa ini lebih jelas berbanding jika perdebatan tersebut berlaku di media sosial, di mana pelbagai pandangan dapat dikongsi tanpa adanya pengaruh atau sokongan pihak tertentu.

Pemikiran 16

Konflik manusia-hidupan liar hari ini disebabkan oleh ketamakan pemaju membina kawasan penempatan di habitat haiwan liar.

Pemikiran 17

Sikap orang Melayu adalah penghalang kepada perpaduan nasional. Kita boleh berhujah bahawa kewujudan sekolah vernakular menyebabkannya, dan kita perlu mewujudkan sistem sekolah satu aliran. Persoalannya, siapa sebenarnya yang menjadi penghalang kepada sistem sekolah satu aliran daripada diwujudkan? 

Pemikiran 18

Fokus sepatutnya diletakkan pada menambah baik kualiti sekolah kebangsaan, kerana orang Melayu sendiri pun sudah mulai tidak percaya dengan kualitinya. Meletakkan fokus kepada pemansuhan sekolah vernakular semata-mata tanpa menggesa penambahbaikan terhadap kualiti sekolah kebangsaan membuatkan seolah-olah ia tidak bermasalah. Golongan elit lazimnya mengindoktrinasi rakyat melalui sekolah kebangsaan, membuatkan semakin banyak gesaan untuk menutup sekolah vernakular susulan peningkatan bilangan orang Melayu yang lebih memilih untuk menghantar anak ke sekolah vernakular berbanding sekolah kebangsaan.

Pemikiran 19

Golongan lelaki, terutamanya lelaki Muslim sewajarnya menumpukan perhatian terhadap menegur perangai saudara sejantina mereka, yang menjadi antara punca utama wanita memilih untuk berideologi feminisme, daripada bergaduh dengan para feminis.

Pemikiran 20

Orang Islam perlu menghentikan tindak balas berlebihan terhadap isu-isu picisan seperti isu masjid dalam video pelancongan, "Duta Tuhan," atau kontroversi berkaitan ham dan sebagainya. Banyak isu yang jauh lebih penting dan mendesak yang wajar diketengahkan. Menumpukan perhatian kepada isu-isu kecil ini berisiko mengaburkan perhatian terhadap isu-isu utama, sekali gus melemahkan usaha menangani masalah yang lebih besar. Lebih membimbangkan, tindakan sedemikian boleh mencetuskan persepsi bahawa umat Islam tidak serius dalam menangani isu-isu penting yang benar-benar memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhan atau "bersubahat" dalam membiarkan sel-sel barah terus bermaharajalela.

Pemikiran 21

Kerajaan tidak sepatutnya memfokuskan kepada pemberian pindahan tunai, lebih-lebih lagi apabila dana terhad. Sebaliknya, usaha ke arah memastikan bahawa para majikan membayar upah yang bermaruah kepada pekerja mereka hendaklah dipergiatkan. Menumpukan perhatian terhadap pemberian pindahan tunai masih tidak menyelesaikan isu utama iaitu pemusatan kekayaan di tangan golongan elit. Majikan besar dan syarikat multinasional terus meraih keuntungan besar dengan membayar gaji rendah, sementara kerajaan menanggung beban membantu pekerja dengan pindahan tunai.

Pemikiran 22

Transfobia juga menyakiti wanita. Wanita yang tidak sesuai dengan definisi lazim bagi wanita, seperti Imane Khelif, dikatakan sebagai transnita. 

Pemikiran 23

Mereka yang mampu tidak layak untuk mengambil biasiswa. 

Pemikiran 24

Perkahwinan tidak boleh berlaku hanya setelah cukup syarat sah. Hal ini merujuk kepada hujah sesetengah pihak bahawa perkahwinan b*wah umur dibolehkan, asalkan cukup syarat sah. Hukum perkahwinan terbabit juga perlu diambil kira. Dalam Islam, hukum perkahwinan boleh berubah mengikut keadaan, dan perkahwinan b*wah umur lazimnya haram mahupun makruh. Hal ini demikian kerana kedua-dua pasangan kebiasaannya tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab perkahwinan. 

Pemikiran 25

Sehina-hina manusia adalah mereka yang sedar sepenuhnya bahawa mereka berada di pihak yang salah, namun tetap kekal di sana, malah turut menentang pihak yang memperjuangkan kebenaran. Mereka begitu dayus sehingga lebih rela membantu pemangsa memakan daging saudara mereka sendiri, malah turut serta dalam perbuatan keji itu, daripada mempertahankan yang benar. Mereka memilih pengkhianatan dan kebaculan daripada mempertahankan maruah, sanggup menjual jiwa demi keuntungan atau keselesaan sementara, tanpa peduli akibat jangka panjang dari tindakan mereka. Mereka mungkin akan berhujah bahawa mereka ini tiada kekuatan untuk melawan pemangsa, namun, jika mereka bersatu dengan mangsa menentang pemangsa, tidak mustahil untuk mereka menang.

Pemikiran 26

Demokrasi dengan "demos" tanpa pendidikan politik adalah mobokrasi (pemerintahan mob).

Pemikiran 27

UMNO merupakan ibu segala kanser di Malaysia.

Pemikiran 28

Dalam kebanyakan kes, mereka yang berlagak alim dan kononnya mempertahankan agama hanya menunggangnya untuk melindungi kepentingan sendiri. 

Pemikiran 29

Golongan konservatif dan reaksioner perlu tahu dan faham bahawa memperjuangkan hak sesuatu golongan tidak memerlukan mereka untuk menyokong golongan tersebut. Kita boleh memperjuangkan kebebasan beragama dan tiada pun timbul isu bahawa kita menyokong orang bukan Islam mengamalkan syirik.

Pemikiran 30

Mahasiswa bukan murid sekolah. Peraturan b*nak seperti larangan berambut panjang dan polisi curfew tidak sewajarnya wujud. Mereka yang mencapai umur 18 tahun sudah dianggap cukup dewasa untuk menentukan masa hadapan negara, namun tidak menjaga diri sendiri? 

Pemikiran 31

Aku takkan pernah faham sesetengah individu yang mencemuh tindakan seseorang yang dikatakan tidak menggunakan saluran yang betul dalam melakukan advokasi dan sebagainya. Apakah definisi saluran yang betul? Jika saluran konvensional gagal, siapa kalian untuk menghalang penggunaan saluran lain yang berkemungkinan jauh lebih efektif?

Pemikiran 32

Kita perlu berhenti membina masjid yang tidak perlu, lebih-lebih lagi melibatkan kos yang tinggi. Apabila masyarakat berbincang soal projek seperti kereta api berkelajuan tinggi, bajet dan pulangan pelaburan sering menjadi topik utama. Mengapa tidak bagi kes pembinaan masjid? Bukankah lebih baik wang itu digunakan untuk menyelesaikan masalah masyarakat seperti menyediakan makanan buat gelandangan dan sebagainya, daripada membina masjid yang akhirnya akan terbiar kosong?

Pemikiran 33

Akta Pendanaan Politik, apabila wujud kelak, sewajarnya meliputi pendanaan politik di peringkat kampus, atau klausa di mana parti politik perlu mendedahkan dana yang disalurkan kepada gerakan mahasiswa di kampus-kampus. Had maksimum dana yang boleh disalurkan juga perlu ditetapkan untuk mengelakkan ketidakadilan dalam persaingan, di mana sebelah pihak menerima dana yang sebegitu banyak, manakala pihak yang satu lagi mempunyai dana yang terhad. 

Pemikiran 34

Tiada gunanya berbangga dengan data bahawa ekonomi bertumbuh dan KDNK meningkat jika ia tidak dapat dirasai oleh rakyat marhaen. KDNK boleh meningkat tetapi tidak semestinya mencerminkan pertambahan kualiti hidup. Ada kes di mana kekayaan hanya tertumpu dalam kalangan golongan mahakaya saja. 

Pemikiran 35

Masalah dengan sistem polis adalah mereka menguatkuasakan undang-undang, meskipun undang-undang itu zalim. Mereka juga tidak mencegah jenayah, sebaliknya menyiasatnya sahaja. Ada kalanya mereka hanya menjadi alat pemerintah untuk menekan rakyat.

Pemikiran 36

Pemikiran yang dengki dengan anak muda perlu dihentikan. 

Pemikiran 37

Sikap orang kita terhadap sesetengah kumpulan minoriti, walaupun didakwa berpunca daripada ajaran agama, sebenarnya berakar daripada kebencian. Misalnya, orang kita membenci sesuatu bukan kerana ia salah, tetapi kerana mereka tidak terlibat dalam perbuatan tersebut. Dosa-dosa yang mereka lakukan jarang dibangkitkan, walaupun lebih meluas.

Pemikiran 38

Kita perlu lebih berhati-hati dalam membentangkan data supaya tidak menimbulkan stigma. Membentangkan data seperti statistik berkaitan HIV yang memfokuskan golongan tertentu saja berisiko menampakkan seolah-olah penyakit HIV itu eksklusif dan menjangkiti golongan terbabit sahaja, sedangkan ia boleh menjangkiti mana-mana golongan yang tidak mengamalkan s*ks selamat. Data sebelum ini menunjukkan betapa meluasnya jangkitan HIV dalam kalangan mereka yang heteros*ksual. Walau bagaimanapun, tidak timbul konotasi bahawa berada dalam golongan itu salah kerana akan mendapat HIV. Jika statistik menunjukkan peningkatan laporan jenayah dalam kalangan orang Melayu pula misalnya, adakah kita akan melabel semua orang Melayu bermasalah? Pelaporan dengan nada seperti ini bukan sahaja tidak mengelakkan amalan yang dianggap punca kepada krisis ini, malah berkemungkinan menyebabkan ia menjadi lebih teruk apabila orang ramai takut untuk menguji status mereka kerana bimbang dicap homos*ksual. 

Pemikiran 39

Dalam menerapkan perkara yang dilihat berjaya di tempat lain, kesesuaiannya untuk diamalkan dalam konteks tempatan perlulah dinilai terlebih dahulu. Adapt, not replicate.

Pemikiran 40

GenAI merupakan suatu Kotak Pandora yang tidak sepatutnya dibuka.

Pemikiran 41

Universiti awam—yang menerima dana awam—wajib terbuka kepada orang awam tanpa mengira latar belakang kaum dan sosioekonomi.

Pemikiran 42

Data tidak diperlukan untuk menjustifikasikan pembukaan universiti awam kepada orang awam.

Pemikiran 43

Apabila mempersembahkan sesuatu data, kita perlu berwaspada dalam mengenal pasti kecacatannya.

Pemikiran 44

Orang kita sering menggunakan data mengenai keterbelakangan ekonomi Bumiputera untuk menjustifikasikan tindakan afirmatif yang berterusan, tanpa menyedari kemungkinan bahawa dasar afirmatif berasaskan kaum itulah yang sebenarnya menyumbang kepada masalah tersebut.

Pemikiran 45

Agama yang sempurna tidak memerlukan paksaan dalam beragama.

Pemikiran 46

Antara punca kegagalan orang Bumiputera dalam mengurus adalah kerana terlalu selesa mempunyai kedudukan istimewa dan tidak perlu mengurus dengan baik kerana pada akhirnya, akan dibantu kerana berstatus "Bumiputera."

Pemikiran 47

Meritokrasi tanpa gelanggang perlawanan yang sama rata adalah diskriminasi.

Pemikiran 48

Parlimen mahasiswa lazimnya bersifat performatif. Ia memberikan ilusi kepada mahasiswa seolah-olah mereka terlibat dalam demokrasi kampus padahal tiada kuasa membuat keputusan pun. Ia juga bertentangan dengan tujuan asal aktivisme mahasiswa dengan distruktur untuk tidak menggugat pihak pengurusan. Ia juga mempromosikan demokrasi liberal di mana debat dan resolusi menggantikan aksi langsung yang jauh lebih efektif. 

Pemikiran 49

Pilihan raya kampus melemahkan perpaduan mahasiswa dengan mewujudkan perpecahan dalam kalangan mereka.

Pemikiran 50

Agama yang sempurna tidak sepatutnya mudah dimanipulasi.

Pemikiran 51

Stereotaip melahirkan diskriminasi.

Pemikiran 51

Pengaruh datang dengan tanggungjawab

Pemikiran 52

Hujah yang mengatakan rumah ibadat perlu kebenaran sebelum didirikan mengabaikan betapa sukarnya untuk rumah ibadat agama minoriti mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa yang jelas bias kepada agama majoriti.

Pemikiran 53

Suri rumah juga pekerja sosial.

Pemikiran 54

Undang-undang bukan kitab suci, jauh sekali kompas moral.

Pemikiran 55

Kadang-kadang, untuk mengambil pendirian dalam sesuatu isu, kita sering hanya perlu memastikan ia tidak bercanggah dengan pendirian kita dalam isu berkaitan. Contohnya, jika kita percaya bahawa undang-undang mengatasi moral atau etika, maka jangan pertikai larangan hijab di luar negara dan lain-lain.

Pemikiran 56

Adab tidak lebih penting ketimbang ilmu. Kedua-duanya saling melengkapi. Frasa "Adab lebih penting berbanding ilmu" lazimnya digunakan untuk membisukan idea yang mencabar status quo.

Pemikiran 57

Ketaksuban kepada undang-undang buatan manusia sering mengorbankan perintah Tuhan.

Pemikiran 58

Untuk merawat penyakit sosial, puncanya perlulah dikenal pasti dan bukan sekadar merawat simptomnya sahaja. 

Pemikiran 59

Jika tiada lagi Cina dan India di Malaysia, perbalahan tidak akan berhenti—Melayu akan beralih kepada siapa yang lebih 'tulen' dan siapa yang 'campuran'. Rasisme tidak kenal batas, dan nasionalisme etnik hanya akan memakan diri.

Pemikiran 60

GenAI merupakan sebuah Kotak Pandora yang tidak sewajarnya dibuka.

Pemikiran 61

Mahasiswa lebih layak dapat duit raya sebab mereka lebih perlukan duit





Disclaimer: "Pemikiran" ≠ Pegangan

No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...