Baru-baru ini, Astro AWANI melaporkan satu kenyataan dari Ketua Pengarah (KP) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari, yang menyatakan bahawa sikap segan rakyat Malaysia terhadap penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu, adalah sesuatu yang mengejutkan. Menurut beliau, sikap ini mencerminkan masalah penjajahan minda dan kekurangan keyakinan terhadap bahasa Melayu, seolah-olah bahasa tersebut tidak mempunyai nilai ekonomi atau kualiti yang setara dengan bahasa lain.
Kenyataan beliau ini mendapat perhatian yang meluas, terutamanya daripada golongan nasionalis yang menggunakan hujah ini sebagai peluru untuk menyerang kumpulan tertentu, terutamanya orang bukan Melayu, yang dianggap segan untuk menggunakan bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, jika kita meneliti dengan lebih mendalam, kita akan mendapati bahawa masalah ini bukan hanya terhad kepada golongan bukan Melayu sahaja.
Masih terdapat sifat malu terhadap penggunaan bahasa kebangsaan dalam konteks yang lebih luas dalam kalangan orang Melayu itu sendiri. Sebagai contoh, banyak perkataan yang dipinjam dari bahasa Inggeris seperti "eksesais" yang sebenarnya sudah ada padanan dalam bahasa Melayu, selain penggunaan bahasa rojak. Mengapa segan menggunakan perkataan sedia ada yang lebih sesuai dan membawa makna yang lebih jelas? Selain itu, kita juga melihat pengaruh bahasa Indonesia dalam perbendaharaan kata rasmi. Adakah ini bermaksud bahasa Melayu tempatan kekurangan daya cipta, atau adakah kita sekadar malas untuk mengangkat istilah tempatan? Alasan bahawa bahasa perlu berkembang dengan menerima pengaruh luar memang wajar, namun mengapa kosa kata asing ini dipilih, sedangkan dialek tempatan atau kata asli jarang digunakan?
Kedua, golongan nasionalis Melayu yang menekankan kepentingan penggunaan bahasa kebangsaan, seringkali melupakan bahawa di negara-negara lain, masyarakat Melayu, seperti di Thailand, masih mempertahankan penggunaan bahasa Melayu walaupun mereka adalah minoriti di sana. Mengapa golongan nasionalis ini tidak bertanya mengapa orang Melayu di negara tersebut masih menggunakan bahasa Melayu dan bukannya bahasa Thai, yang merupakan bahasa dominan di negara itu? Hal ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana nasionalisme yang mereka perjuangkan benar-benar mencerminkan penghormatan terhadap bahasa kebangsaan di luar Malaysia.
Terdapat juga beberapa orang yang mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan kritikan terhadap sekolah vernakular yang dianggap tidak memartabatkan bahasa kebangsaan. Sering kali sekolah vernakular dijadikan kambing hitam dalam isu pemartabatan bahasa kebangsaan. Namun, jika kita melihat kepada institusi pengajian tinggi awam terbesar di Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM), kita akan mendapati bahawa bahasa Inggeris digunakan secara meluas dalam pengajaran dan pembelajaran di sana. Tidakkah ini menunjukkan satu paradoks dalam perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu? Golongan nasionalis jarang mengkritik UiTM walaupun ia bercanggah dengan retorik mereka. Jika benar mahu memartabatkan bahasa Melayu, mengapa tiada usaha konkrit untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di UiTM?
Sedikit selingan, ujian bahasa Inggeris juga dijadikan antara prasyarat wajib untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, dan bukannya ujian bahasa Melayu.
KP DBP memetik Thailand, Jepun, dan Perancis sebagai contoh negara yang berjaya memartabatkan bahasa kebangsaan mereka. Namun, membandingkan Malaysia dengan negara-negara ini adalah tidak tepat kerana latar belakang sejarah dan demografi yang berbeza. Thailand dan Jepun merupakan negara yang homogen, manakala Malaysia adalah negara majmuk dengan pelbagai etnik, budaya, dan bahasa.
Masalah "segan" menggunakan bahasa kebangsaan bukanlah isu satu kaum, tetapi masalah kolektif yang melibatkan semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang paling lantang bersuara. Jika DBP dan golongan nasionalis benar-benar mahu memartabatkan bahasa Melayu, mereka perlu terlebih dahulu menyelesaikan paradoks yang wujud dalam sistem sedia ada.
No comments:
Post a Comment