Monday, 15 July 2024

MPV? MULTI-PURPOSE VEHICLE?

Jika anda sampai di sini kerana berminat untuk membaca tentang Multi-purpose Vehicle, harap maaf. Entri kali ini bukan pasal MPV yang itu, tapi, Mata Pelajaran Vokasional (MPV).

Mata Pelajaran Vokasional Itu Apa Pula?

Aku rasa ramai yang tak tahu apa benda MPV ni. Aku dulu pun tak tahu. Mungkin sebab ia kurang popular dan tak banyak ditawarkan di sekolah-sekolah.

Sebelum aku tahu tentang MPV ni, aku merupakan pelajar di sebuah Kolej Vokasional (KV) dalam bidang Seni Kulinari. Beberapa bulan selepas itu, terjadi beberapa isu dan aku akhirnya berpindah ke sekolah menengah harian biasa. Di situ, aku mengambil subjek MPV Katering dan Penyajian (KP).

Untuk pengetahuan semua, Mata Pelajaran Vokasional atau singkatannya MPV ini ialah sekumpulan mata pelajaran yang diajar
berteraskan kemahiran, ditawarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) untuk pelajar
di tingkatan empat dan lima. Program ini mula dilaksanakan berperingkat selama empat fasa mulai tahun 2002 hingga tahun 2005 . Ia bukannya ditawarkan di institusi pendidikan TVET seperti KV mahupun Sekolah Menengah Teknik (SMT). 

Kategori MPV

Di bawah program ini, sebanyak 22 mata pelajaran ditawarkan buat para pelajar. Ia dikelompokkan dalam lima bidang iaitu:

1. Pembinaan

- Pembinaan Domestik 
- Membuat Perabot (kini dijenamakan semula sebagai Pembuatan Perabot)
- Seni Reka Tanda (kini dijenamakan semula sebagai Produksi Reka Tanda)
- Kerja Paip Domestik

2. Kejuruteraan/Perkhidmatan

- Menservis Peralatan Elektrik Domestik
- Pendawaian Domestik 
- Menservis Automobil 
- Menservis Perlatan Penyejukan dan
Penyamanan Udara
- Menservis Motosikal
- Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik (kini dijenamakan semula sebagai Gerontologi Asas dan Geriatrik)
- Kimpalan Gas dan Arka

3. Pertanian

- Landskap dan Nurseri
- Tanaman Makanan
- Akuakultur dan Haiwan Rekreasi

4. Ekonomi Rumah Tangga

- Rekaan dan Jahitan Pakaian 
- Katering dan Penyajian 
- Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak 
- Hiasan Dalaman Asas (kini dijenamakan semula sebagai Hiasan Dalaman)
- Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut (kini dijenamakan semula sebagai Penjagaan Muka dan Penggayaan Rambut)
- Pemprosesan Makanan

5. Teknologi Maklumat dan Komunikasi

- Produksi Multimedia 
- Grafik Berkomputer (kini dijenamakan semula sebagai Reka Bentuk Grafik Digital)

Subjek ini digandingkan bersama enam subjek teras SPM (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral) dan satu lagi subjek elektif. Bagi aku, subjek berkenaan ialah Perniagaan. 

Struktur Pentaksiran MPV

Pentaksiran MPV melibatkan dua kaedah utama:

1. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

PBS dikendalikan oleh guru mata pelajaran berkenaan selama dua tahun. PBS mentaksir evidens proses dan evidens produk bagi sesuatu kompetensi. Dalam erti kata lain, PBS adalah dalam bentuk CBE, competency-based education atau pendidikan berasaskan keterampilan.

Modul pentaksiran yang dijelmakan daripada modul pembelajaran menjadi asas kepada pentaksiran tentang penguasaan calon dalam sesuatu kompetensi. Ia bertujuan untuk mentaksir kompetensi calon dalam sesuatu modul dengan merujuk kepada sesuatu kriteria yang ditentukan sebelum dihakimi sama ada calon telah kompeten atau belum.

Pentaksiran dijalankan sepanjang tingkatan 4 dan 5 apabila calon telah bersedia untuk ditaksir, bersesuaian dengan pendekatan pentaksiran atas permintaan (assessment on demand). Aktiviti pentaksiran dilaksanakan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Calon berhak dimaklumkan keputusan pentaksirannya selepas pentaksiran dijalankan sama ada Kompeten (K) atau Belum Kompeten (BK). Calon juga hendaklah diberi maklum balas oleh pentaksir tentang kesilapan yang dilakukan bagi sesuatu kriteria atau kompetensi yang dicatatkan sebagai belum kompeten. Sekiranya calon Belum Kompeten (BK) dalam sesuatu kompetensi, calon boleh memohon untuk ditaksir semula. Permohonan untuk ditaksir semula bolehlah dibuat kepada Pentaksir. Calon diberi peluang mengulang sehingga calon Kompeten (K) atau tamat tempoh pentaksiran. 

Penskoran kompetensi calon bagi sesuatu modul pentaksiran dilaporkan dalam Sijil Mata Pelajaran Vokasional. 

2. Pentaksiran Berpusat

Pentaksiran secara berpusat dilaksanakan secara bertulis yang mentaksir evidens pengetahuan dikendalikan sama seperti mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia yang lain. Hanya calon yang telah kompeten ≥ 50% dari keseluruhan modul pentaksiran di Tingkatan 4 yang layak untuk menduduki pentaksiran ini.

Lepasan MPV akan menerima dua bentuk sijil iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama-sama SMPV. Kedua-duaya dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).

Cadangan Penambahbaikan

Sebagai antara lepasan MPV, aku berharap sangat agar beberapa penambahbaikan dapat dilakukan bagi inisiatif ini. Bagi aku, ia lebih sesuai dijadikan pilihan utama mereka yang berminat untuk menceburi bidang vokasional berbanding memasuki KV atau SMT yang mungkin mengakibatkan pelajar tiada kelulusan SPM. 

Pengiktirafan SMPV

Antara penambahbaikan yang aku harapkan ialah pengiktirafan Sijil Mata Pelajaran Vokasional (SMPV) iaitu sejenis Sijil Modular. Pada ketika ini, aku rasa sijil modular ini kurang "diterima" oleh industri, dan kini, kebanyakan industri mendambakan graduan lepasan peringkat Ijazah Sarjana Muda. Natijahnya, kebanyakan lepasan MPV sama ada melanjutkan pengajian dalam bidang lain mahupun menjadi usahawan. Peluang untuk menyambung pelajaran dalam bidang yang sama juga rendah. 

Pendedahan Awal

Ramti pelajar termasuk aku sendiri tidak tahu akan kewujudan program sebegini. Para pelajar, terutamanya para pelajar di sekolah yang tidak mempunyai program ini, hendaklah diberikan pendedahan awal berkenaan kewujudan inisiatif ini sejak di peringkat menengah rendah. 

Peruntukan dan Sumber

Untuk menjayakan program MPV, dana yang mencukupi untuk peralatan, bahan dan fasiliti amatlah penting. Dana dan sumber untuk memantapkan pelaksanaan program ini seharusnya diperbanyakkan. Pilihan mata pelajaran juga sepatutnya dipelbagaikan lagi, seiring dengan perkembangan semasa. 

Kelab dan Aktiviti Ko-kurikulum 

Seterusnya, wajar untuk diwujudkan kelab bagi subjek MPV, misalnya Kelab Memasak atau Kelab Katering dan Penyajian. Kelab ini tidak semestinya wajib disertai oleh mereka yang mengambil aliran MPV saja. Mereka yang sebaliknya juga boleh, dan pelajar aliran MPV juga sepatutnya bebas memasuki mana-mana kelab. Kewujudan kelab khas MPV ini dapat melatih pelajar memimpin sesuatu organisasi dan cara kerja berpasukan. Kelab juga boleh melaksanakan program, pertandingan dan projek berkaitan MPV.

Penghargaan Kecemerlangan

Bagi menggalakkan lebih ramai pelajar mengambil aliran ini, pelajar cemerlang perlulah dihargai dengan pelaksanaan majlis anugerah tahunan.

Buku Teks MPV

Walaupun kini subjek MPV telah mempunyai buku teks mereka yang tersendiri, setelah meneliti kandungannya, aku berpendapat bahawa ia boleh diperkayakan lagi. 

Latihan Industri

Pelajar MPV juga wajar ditawarkan opsyen untuk mengikuti latihan industri bersama dengan syarikat tempatan. Latihan ini adalah dalam jangka masa pendek dan mampu mendedahkan para pelajar kepada pengalaman kerja sebenar. Misalnya, pelajar MPV Katering dan Penyajian boleh mengikuti latihan industri di kedai makan lokal.

Sijil Kemahiran Malaysia

Pelajar MPV juga hendaklah turut dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 apabila tamat pengajian.

Kursus Guru

Guru yang mengajar subjek MPV memerlukan latihan yang berterusan selari dengan perkembangan industri. Bengkel, sesi latihan dan penempatan industri buat guru mampu mengasah kemahiran dan pengetahuan mereka. Hal ini mampu menjamin kualiti pengajaran mereka.

Memecahkan Stigma 

Lazimnya, MPV ini ditawarkan kepada pelajar kelas-kelas belakang di setiap sekolah. Natijahnya, orang ramai sering memandang rendah mereka yang mengambil aliran MPV, tanpa menyedari hakikat bahawa setiap individu mempunyai kebolehan yang unik. Stigma masyarakat bahawa hanya pelajar-pelajar yang kurang cerdik sahaja yang mengambil aliran ini perlu diubah. Terdapat pelajar yang tidak dapat menunjukkan kebolehan sebenar mereka kerana sebenarnya otak atau minat mereka bukan menjurus kepada bidang akademik.

Rakan sekelas aku merupakan pelajar terbaik sekolah untuk peperiksaan SPM. Mungkin ada yang berpendapat bahawa dia mampu mencapai perkara tersebut dek "kesenangan" subjek MPV. Akan tetapi, percayalah, tak semua orang mampu berjaya dalam aliran ini.

Adalah menjadi harapan aku agar program ini dapat diperkasakan lagi oleh pihak kerajaan. Buat mereka yang berminat untuk memasuki aliran ini, aku sangat galakkan. Apa-apapun, lakukan kaji selidik terlebih dahulu kerana mungkin berlaku beberapa perubahan terhadap program terbabit sejak aku meninggalkan bangku persekolahan. 

Terima Kasih Cikgu Shasha, Guru Kesayangan Pelajar Kelas Kenanga

Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan buat guru MPV aku yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Shasha atas segala bimbingan dan tunjuk ajar yang telah diberikan. Jasa cikgu amatlah saya hargai. Beliau kini meneruskan khidmat sebagai guru di Pulau Borneo.

Sumber:

1 comment:

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...