Latar Belakang
Miker Pizza merupakan jenama tempatan yang mula bertapak di Ipoh, Perak sejak tahun 2019. Ia kini sudah mempunyai empat cawangan di bandar Ipoh, dengan pembukaan cawangannya yang terbaru iaitu cawangan Tambun baru-baru ini. Cawangan lain ialah cawangan Tun Sambanthan, Tasek dan Gunung Rapat. Ia turut memiliki sebuah kedai di Kajang. Nama ‘Miker’ Pizza berasal dari loghat Perak yang bermaksud ‘Awak' dan 'Mereka’.
Pengasas Miker Pizza, Muhammad Shakir Jushaah dan Mohd Amzari Zamri merupakan anak kelahiran Perak. Niat mereka membuka kedai piza bertemakan hipster ini adalah untuk menawarkan sesuatu yang baharu untuk menikmati piza ala New York namun mempunyai identiti lokal.
Kedai Miker Pizza mengguna pakai konsep yang agak unik iaitu konsep dapur terbuka, di mana para pelanggan boleh menyaksikan proses pembuatan piza.
Citarasa Unik Miker Pizza
Berbagai-bagai jenis piza ditawarkan oleh Miker Pizza, termasuklah piza "Ultimate Kampung," dengan hias atas (toping) seperti ikan bilis mata biru, bunga kantan dan cili padi. Salah seorang pengasas Miker Pizza mengakui bahawa piza jenis ini merupakan "signature" mereka. Ia disukai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia. Rasanya macam mana? Cubalah dulu!
Doh piza diadun sendiri oleh mereka dan dibuat segar setiap hari. Ia juga dibakar mengikut permintaan pelanggan, seperti 'medium' dan 'just nice.' Ramai pelanggan yang menggemari tekstur dohnya.
Antara hidangan lain yang turut disajikan ialah roti bawang putih dan sup cendawan serta spageti.
Pengalaman Makan Miker Pizza
Baru-baru ni, aku telah berkunjung ke Miker Pizza Cawangan Tambun yang baru sahaja dibuka.
1. Pilihan menu yang agak sedikit
Meskipun aku tahu bahawa ini kedai yang menjual piza, adalah diharapkan agar menu di kedai ini boleh dipelbagaikan lagi.
2. Ketiadaan minuman berbancuh, gelas berais dan penggunaan penyedut minuman kertas
Pilihan air berbancuh aku boleh katakan tiada. Yang ada hanyalah milkshake. Tu dikira air berbancuh ke? Yang banyak ialah pilihan air dalam tin dan botol kaca.
Kemudian, tiada gelas berais. Kritikan ini datang daripada ibu aku sendiri. Aku tak kisah sangat. Aku harap pada masa depan ada disediakan gelas berisi ais buat pelanggan.
Bab penyedut minuman kertas pula, aku rasa eloklah ditukar kembali kepada penyedut minuman biasa. Aku juga harap pihak Miker Pizza menekankan kepentingan kitar semula, memandangkan pinggan yang digunakan ialah pinggan kertas.
3. Servis yang kurang memuaskan
Berlaku kejadian tertukar pesanan semasa aku berada di sini. Ibu aku memberi komen bahawa pekerja agak kurang terlatih. Mungkin juga kerana baru dibuka.
4. Harga biasa-biasa
Ibu aku kata harga piza dia boleh tahan. Kami memesan set kombo yang agak murah. Jika dibandingkan dengan rasanya, ibu aku kata berbaloilah. Namun, bagi orang kebanyakan, boleh dikatakan agak mahal dan hanya boleh makan sekali-sekala.
5. Sup cendawan masin
Rasa dan saiz pizanya okay. Doh pizanya nipis. Sos tomatonya enak. Hias atasnya biasa saja. Cuma sup cendawannya agak masin. Teksturnya sedang elok. Roti bawang putihnya mungkin sedap bagi sesetengah orang, tapi agak "smoky" bagi aku.
6. Suasana yang menenangkan
Dari segi "vibes", agak meriah. Kawasan kedai berpendingin hawa.
7. White Creamy Chicken menu wajib cuba
Kami memesan set kombo berikut:
- Saiz besar: Meatball 2.0
- Saiz biasa: Beef Pepperoni (tapi yang sampai Chicken Pepperoni) dan White Creamy Chicken
Menu kegemaran aku setakat ini ialah White Creamy Chicken. Menu ini masih baru. Topingnya ala-ala carbonara. Menu ini juga sesuai untuk kanak-kanak.
Secara keseluruhan, pengalaman kami di Miker Pizza cawangan Tambun adalah agak memuaskan dengan beberapa aspek yang boleh diperbaiki.
Nota: Berdasarkan pengalaman aku sendiri, kalau nak beri orang tua rasa piza ni, eloklah ditapau kerana masa menunggunya agak lama, memandangkan piza dimasak dari awal.
Bagi mereka yang ingin menjamu selera di Miker Pizza cawangan Tambun, jangan lupa pekena secangkir kopi dari Ulu's Coffee sekali. Kawasan tersebut memang sesuai dijadikan 'port' untuk melepak bersama dengan rakan-rakan.
Setanding dengan Jenama Antarabangsa
Pada masa entri ini ditulis, Miker Pizza mendapat sambutan yang amat mengalakkan, tidak kira dari orang tempatan mahupun para pelancong yang berkunjung ke Ipoh. Hal ini meletakkan jenama ini sama taraf dengan jenama piza internasional lain seperti Pizza Hut dan Domino's Pizza.
Semoga jenama tempatan ini lebih berkembang dan mampu melebarkan sayap ke pentas antarabangsa suatu hari nanti.
Sumber:
No comments:
Post a Comment