Saturday, 27 July 2024

BERHENTI GUNAKAN KATA CERCA!

Apa itu Kata Cerca?

Kata cerca atau slur adalah terma derogatori yang digunakan untuk menghina atau memperkecilkan individu berdasarkan ciri-ciri seperti bangsa, jantina, orientasi seksual, ketidakupayaan, saiz badan, umur atau agama. Ia lazimnya "memperkukuhkan" stereotaip negatif dan menyumbang kepada diskriminasi sistemik. Namun aku hanya akan membincangkan tentang kata cerca berdasarkan bangsa dan ketidakupayaan, yang aku dapati sangat berleluasa penggunaannya dalam kalangan masyarakat tempatan.

Jenis-jenis Kata Cerca

1. Kata Cerca Berkaitan Bangsa

Kata cerca berkaitan bangsa adalah terma yang digunakan untuk menghina seseorang berasaskan latar belakang etnik atau bangsanya.

Contoh kata cerca jenis ini yang sering digunakan di Malaysia termasuklah:

- Kaum Cina: Type-C
- Kaum India: K*ling, P*jeet
- Orang Asli: J*kun, S*kai, B*tak,
- Lain-lain: P*lak, Ind*n, Ap*nene, Esk*mo, B*ngla

Nota: Penggunaan n-word yang lazim digunakan di Amerika Syarikat juga didapati meluas dalam kalangan rakyat Malaysia. Terma bagi mereka yang selalu menggunakan kata cerca jenis ini ialah rasis.

2. Kata Cerca Berkaitan Ketidakupayaan

Kata cerca jenis ini pula digunakan untuk memperlekehkan individu berdasarkan ketidakupayaannya.

Contoh kata cerca berkaitan ketidakupayaan yang selalu digunakan di Malaysia ialah:

1. Individu dengan Autism Spectrum Disorder (ASD): Akustik, budak autisme
2. Individu dengan ketidakupayaan intelektual dan perkembangan: R*tard
3. Lain-lain: Gila, Beza Upaya

Nota: Terma bagi mereka yang kerap menggunakan kata cerca jenis ini ialah ableis.

3. Kata Cerca Berkaitan Status Sosioekonomi

Meskipun kurang diberikan perhatian, penggunaan istilah tertentu boleh menjadikan ia sebagai kata cerca. Misalnya adalah terma "B40" atau "miskin".

Kesan Buruk Penggunaan Kata Cerca

1. Impak Psikologi

Penggunaan kata cerca boleh mengakibatkan individu yang dicerca mengalami stres, keresahan, kemurungan dan keyakinan diri yang rendah. Tahukah anda bahawa penggunaan kata cerca berkaitan Orang Asli merupakan antara punca ramai antara mereka berhenti sekolah menengah?

2. Kesan Sosial

Penggunaan kata cerca menyumbang kepada perpecahan masyarakat dengan memperkuatkan prejudis sedia ada dan mewujudkan suatu persekitaran di mana diskriminasi dinormalisasikan. Ini menghalang pembentukan masyarakat yang inklusif dan harmoni.

Apa yang Perlu Dilakukan?

1. Didik Diri

Kenali, pelajari dan fahami apa itu kata cerca, termasuk jenis-jenisnya dan impak penggunaannya terhadap individu dan masyarakat. 

2. Elak Gunakan Kata Cerca

Setelah mengetahui contoh kata cerca, elakkan daripada menggunakannya dalam apa jua konteks. Jika anda terpaksa menyebut istilah tersebut untuk tujuan pendidikan, lakukan dengan berhati-hati dan dalam konteks yang sesuai.

3. Didik Orang Lain

Tegur individu yang menggunakan kata cerca secara sopan dan berhemah. Terangkan kepada mereka mengapa kata-kata tersebut boleh menyinggung perasaan.

4. Undang-undang Anti-kebencian

Kerajaan sewajarnya menggubal suatu undang-undang anti-kebencian yang melarang penggunaan kata cerca. Ini kerana penggunaannya sangat menjejaskan mereka yang berkaitan. 

5. Jangan Jadi Defensif

Berhenti justifikasi penggunaan kata cerca walau apa jua alasan. Perkataan lain yang lebih molek dan beradab wujud. Ibaratkan penggunaan kata cerca seperti mencarut, memandangkan kedua-duanya mempunyai maksud negatif. Penggunaan kata cerca juga menyinggung perasaan orang lain dan menghina mereka—sesuatu perbuatan yang dilarang oleh Islam. Berhenti gelar orang terlampau sensitif sedangkan kau yang tak sensitif.

Sumber:


No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...