Sejak kebelakangan ini, ramai pemimpin mahasiswa yang hebat-hebat belaka bersuara demi menjuarai dan memperjuangkan isu-isu mahasiswa. Akan tetapi, ada dalam kalangan mereka ini yang diintimidasi oleh pihak pengurusan universiti. Tindakan ini tidak boleh diterima sama sekali, atas apa jua alasan sekalipun. Perbezaan perspektif sepatutnya disambut dan bukannya dibungkam. Mereka yang bersuara sewajarnya didengari, bukan diintimidasi. Pihak pengurusan universiti yang berwibawa lazimnya lebih menghargai mahasiswa yang bersuara demi meningkatkan mutu universiti.
Kebebasan akademik merupakan cita-cita yang patut dijadikan keutamaan oleh pihak universiti. Para pelajar sepatutnya bebas menyuarakan pandangan mereka tanpa risiko retaliasi. Apalah gunanya universiti mendidik mahasiswa agar berfikiran kritis namun menghukum mereka yang melakukannya?
Artikel 10, Perlembagaan Persekutuan menggariskan hak kepada kebebasan bersuara dan berekspresi. Intimidasi terhadap mahasiswa boleh dikira sebagai mencabul hak asasi yang sudah terpahat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Intimidasi pelajar merujuk kepada sebarang tingkah laku, tindakan atau kelakuan yang bertujuan untuk menakut-nakutkan para pelajar. Intimidasi terhadap mahasiswa dilakukan dalam pelbagai bentuk iaitu secara lisan, fizikal atau psikologi. Antara contohnya termasuklah ugutan tindakan tatatertib secara terang-terangan mahupun tertutup. Selain itu, ada juga antara pelajar yang disoal siasat berjam-jam lamanya, seolah-olah membuat kesalahan jenayah. Tindakan ini bukan sahaja tidak beretika, malah tidak menghormati status mahasiswa sebagai pemegang taruh utama universiti. Ia juga menyekat kebebasan bersuara, menghambat kreativiti, dan mengekang pertukaran idea secara bebas.
Prinsip kebebasan akademik amat penting dalam arena pendidikan tinggi. Ia memberi peluang kepada mahasiswa untuk mempersoalkan sesuatu dan melibatkan diri dalam perbincangan intelektual. Apabila pelajar diintimidasi hanya kerana mempraktikkan kebebasan ini, ia tidak hanya membantutkan pertumbuhan peribadi mereka, malah bertentangan dengan tujuan pendidikan itu sendiri. Institusi akademik, terutamanya universiti, wajib dijadikan sebagai ruang dimana perbezaan pendapat bukan sahaja dialu-alukan, malah digalakkan secara aktif.
Intimidasi terhadap mahasiswa juga boleh menjejaskan kemaslahatan mental mereka, yang seterusnya boleh mengakibatkan prestasi akademik mereka merosot. Tiada gunanya universiti berbicara soal ingin mengutamakan kesihatan mental mahasiswa jika mahasiswa terus-menerus dibuli dan diseksa mental mereka oleh pihak universiti sendiri. Intimidasi boleh menyumbang kepada kemurungan, kerisauan (anxiety) dan lain-lain. Mahasiswa akan berasa takut untuk mengutarakan pendapat kerana risau bakal dikenakan tindakan tatatertib. Persekitaran ini memudaratkan pelajar bukan sahaja dari segi akademik, malah kesihatan mental mereka juga.
Ada dalam kalangan kenalan penulis sendiri yang berpengalaman diintimidasi oleh pihak universiti. Terdapat antara mereka yang “dipulaukan” oleh pihak pengurusan, disindir oleh para pensyarah, dijauhi oleh rakan-rakan pelajar, disoal siasat berjam-jam lamanya, dinafikan suara mereka dan sebagainya. Terdapat juga keadaan dimana pihak universiti secara terbuka dan tanpa segan silu mengugut untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap mahasiswa hanya kerana menyertai program, perhimpunan dan protes tertentu, mahupun melibatkan diri dalam aktivisme. Hal ini sudah semestinya akan meninggalkan dampak negatif kepada mereka, terutamanya dari segi kesihatan mental. Adakah ini yang pihak universiti mahukan? Adakah pihak universiti benar-benar endah akan kesihatan mental mahasiswa atau sekadar berpura-pura prihatin sahaja?
Universiti mempunyai kewajipan untuk memelihara kebajikan pelajar mereka, dan sebarang bentuk intimidasi bercanggah dengan tanggungjawab ini. Adalah penting bagi institusi untuk mengakui kesan intimidasi terhadap kesihatan mental pelajar dan mengambil langkah segera untuk memperbetulkan keadaan.
Tanpa disedari oleh pihak universiti sendiri, mereka sendiri telah mencemarkan imej universiti dengan mengintimidasi pelajar yang kononnya memburukkan nama universiti. Tindakan tidak beretika itu menimbulkan beberapa persoalan. Apakah takrifan sebenar atau contoh tindakan yang memburukkan nama universiti? Siapakah yang berhak melabel sesuatu tindakan sebagai memburukkan nama universiti? Apakah kriteria atau garis panduan yang digunakan dalam membuat penentuan sedemikian? Adakah alasan tersebut boleh digunakan untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap mahasiswa? Adakah universiti bertindak dalam skop autoriti yang diperuntukkan oleh undang-undang? Adakah tindakan tersebut bermoral? Adakah tindakan tersebut selari dengan usaha pemerkasaan mahasiswa dan pemantapan kesihatan mental yang digembar-gemburkan? Adakah tindakan tersebut selari dengan usaha menggalakkan pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa? Adakah pihak universiti benar-benar mendengar suara pelajar? Adakah keputusan yang dibuat tanpa mengambil kira input pelajar betul-betul berkualiti? Adakah membuat keputusan yang berlawanan dengan kehendak kebanyakan/majoriti pelajar beretika? Adakah tindakan tersebut boleh dilabel sebagai penyalahgunaan kuasa oleh pihak universiti? Mengapakah universiti memilih untuk mengugut pelajar dengan tindakan tatatertib dan bukannya mengambil pendekatan alternatif seperti mengadakan dialog terbuka, penglibatan, atau menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh pelajar? Adakah pihak universiti percaya bahawa melindungi reputasinya lebih penting daripada menghormati hak kebebasan bersuara? Mengapakah pihak universiti tidak menumpukan perhatian kepada pelaksanaan usaha pencegahan seperti menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh pelajar sebelum mereka melakukan tindakan yang dianggap merosakkan nama baik universiti? Mengapakah universiti tidak mengutamakan pendekatan “restorative justice” dan lebih gemar menghukum mereka yang didakwa merosakkan imej universiti dengan tindakan disiplin? Kenapa adanya “pendakwaan terpilih?” Kenapa pelajar yang lantang bersuara lebih pantas dihukum berbanding pelajar yang melakukan gangguan seksual atau mempamerkan sikap yang benar-benar memburukkan nama universiti? Perkara ini boleh dikatakan bercanggah dengan Artikel 8, Perlembagaan Persekutuan yang menjamin bahawa semua orang adalah “equal” di sisi undang-undang. Adakah berlakunya diskriminasi terhadap golongan tertentu? Adakah universiti dapat menjamin bahawa tidak wujudnya bias dalam mengenakan tindakan tatatertib? Adakah universiti melaksanakan amalan “pick and choose” pelajar mana yang hendak dikenakan tindakan tatatertib? Pertanyaan-pertanyaan ini wajib dijawab oleh pihak universiti.
Antara punca akar berlakunya intimidasi terhadap mahasiswa ialah dinamika kuasa yang kompleks dan pengurusan yang dipacu ego. Daripada bersikap defensif apabila kecacatannya didedahkan, pihak pentadbiran sepatutnya mempunyai standard yang tinggi dengan menyambut baik apa-apa aduan, cadangan ataupun pendapat dan menganggap ia sebagai peluang untuk melakukan penambahbaikan.
Pengarang ingin menggesa agar pelbagai solusi digerakkan bagi memastikan agar intimidasi terhadap mahasiswa dihentikan secara serta-merta dan kekal. Segala “tali” yang menjurus kepada perkara ini wajib diputuskan.
Solusi pertama adalah dengan memansuhkan atau meminda provisi undang-undang yang memberi kuasa berlebihan dan berbahaya kepada pihak universiti. Provisi-provisi ini mewujudkan ketidakseimbangan kuasa antara pelajar dan institusi. Antaranya termasuklah Seksyen 23B, Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173), Seksyen 16B dan 16C, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30), Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) dan Seksyen 46, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555). Para mahasiswa tidak seharusnya diugut dengan tindakan tatatertib hanya kerana lantang bersuara. Pemberian kuasa untuk mengenakan tindakan tatatertib kepada mana-mana individu dari pihak pengurusan universiti membuka pintu untuk penyalahgunaan kuasa.
Selain itu, para pelajar juga perlulah dilindungi dengan peruntukan undang-undang yang melindungi pemberi maklumat (whistleblower). Peruntukan ini boleh dimasukkan dalam akta-akta yang berkaitan. Langkah ini perlu sebagai perisai atau benteng pertahanan bagi pelajar daripada diugut oleh pihak pengurusan universiti.
Di samping itu, pengarang ingin mengesyorkan pewujudan Akta Kesatuan Mahasiswa. Akta ini perlulah mempunyai provisi-provisi seperti yang terkandung dalam Akta Kesatuan Sekerja yang telah disesuaikan dengan arena pendidikan tinggi. Dengan kewujudan akta ini, para pelajar boleh mewujudkan kesatuan mahasiswa yang bebas dari pengaruh pihak pengurusan universiti. Kesatuan mahasiswa ini juga perlu diberi kuasa untuk memulakan “collective bargaining” seperti yang dinikmati oleh kesatuan sekerja. Kesatuan mahasiswa yang diwujudkan juga mestilah tidak terhad kepada lokaliti di kampus sahaja, malah perlu adanya satu Federasi Kesatuan-kesatuan Mahasiswa.
“Collective bargaining” wajar mencakupi perkara-perkara seperti yuran, polisi akademik, penempatan, keselamatan, bantuan kewangan/biasiswa, pengangkutan dan sebagainya.
Pihak universiti tidak boleh dibenarkan untuk menyekat pelajar dari menyertai kesatuan mahasiswa, mendiskriminasi pelajar atas dasar bahawa mereka merupakan ahli sesebuah kesatuan mahasiswa, ataupun mengugut untuk mengenakan tindakan tatatertib atau mengenakan tindakan tatatertib terhadap mahasiswa atas alasan bahawa mereka merupakan ahli kesatuan mahasiswa atau hanya kerana mereka melibatkan diri dalam aktiviti kesatuan mahasiswa seperti protes.
Sekiranya berlakunya pelanggaran hak pelajar, mereka boleh melaporkan perkara tersebut kepada satu badan khas. Mahkamah khas untuk mendengar kes-kes berkaitan kesatuan mahasiswa juga wajar ditubuhkan.
Kesatuan mahasiswa juga perlu dijadikan antara ahli tetap dalam proses membuat keputusan di semua peringkat. Suara pelajar mestilah diambil kira dalam segala aspek semasa proses membuat keputusan. Keengganan pihak universiti untuk tunduk kepada kehendak mahasiswa sewajarnya boleh ditentang oleh pelajar dengan melakukan protes tanpa risiko retaliasi. Proses membuat keputusan di sini termasuklah proses tindakan tatatertib. Ia juga perlu melibatkan wakil kesatuan mahasiswa.
Tambahan pula, kuasa untuk memungut wang perlu dikurniakan kepada kesatuan mahasiswa. Dana ini boleh digunakan untuk membiayai aktiviti kesatuan mahupun digunakan untuk tujuan memberi bantuan kepada ahli yang memerlukan.
Cadangan menjadikan kesatuan mahasiswa seolah-olah seperti kesatuan sekerja ini sudah tentunya akan mendapat bantahan.
Antara alasan menolak cadangan ini ialah risiko menjejaskan keharmonian persekitaran akademik. Pada hemat pengarang, sekiranya tuntutan pelajar didengari dan dipenuhi, tiada keperluan untuk mahasiswa melakukan protes dan sebagainya. Jika benar-benar risau akan keharmonian persekitaran akademik, dengarlah input pelajar. Jangan menyalahkan pelajar yang membuat protes yang sebenarnya berpunca dari sikap pihak pengurusan universiti itu sendiri.
Ada juga hujah bahawa cadangan ini bertentangan dengan objektif pendidikan. Mereka mengatakan bahawa pelajar sepatutnya fokus kepada memantapkan prestasi akademik mereka sahaja, memandangkan itu merupakan tanggungjawab utama mereka. Pertamanya, cadangan ini mampu mempersiapkan pelajar untuk menempuhi realiti semasa di alam pekerjaan nanti. Keduanya, tugas pelajar melangkaui aspek akademik semata-mata. Pelajar juga bertanggungjawab untuk memperjuangkan hak mereka yang sering dipandang enteng oleh pihak universiti. Selain itu, keengganan pihak universiti mendengar suara pelajar telah terbukti mengakibatkan gangguan terhadap prestasi akademik pelajar. Bagaimanakah pelajar hendak meningkatkan prestasi akademik mereka dalam senario ini? Cadangan ini mampu memberi peluang kepada pelajar untuk belajar menguruskan organisasi dan mengasah kemahiran berunding, selain menggalakkan penglibatan awam. Perkara-perkara ini juga boleh menyumbang kepada perkembangan dan pendidikan mereka. Ketiganya, hujah ini sudah lapuk. Para pelajar sejak sekian lama sudah “terganggu” dari memberi perhatian penuh kepada prestasi akademik dengan wujudnya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), selain persatuan-persatuan mahasiswa yang lain. Kesatuan mahasiswa juga sudah lama wujud di Malaysia sebelum “dihapuskan.” Baru-baru ini, muncul kesedaran untuk mengembalikan mahasiswa kepada zaman kegemilangannya dengan penubuhan semula kesatuan mahasiswa, seperti Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dan Kesatuan Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KMUIAM). Kesatuan mahasiswa ini juga wujud di beberapa universiti terkemuka dunia. Bukankah universiti sekarang begitu taksub dengan ranking? Maka, rasanya tiada keperluan untuk menolak cadangan ini memandangkan universiti yang berada pada kedudukan lebih tinggi juga mempunyai kesatuan mahasiswa. Prestasi akademik pelajar mereka juga mantap.
Seterusnya, “Students’ Bill of Rights” juga perlu diperkenalkan di Malaysia. Antara hak pelajar yang wajar dimasukkan dalam dokumen ini termasuklah hak untuk berhimpun secara aman, hak untuk bersuara (tidak kira secara lisan mahupun bertulis) tanpa risiko penapisan mahupun retaliasi. Pelajar juga perlu mempunyai hak kepada proses tindakan tatatertib yang adil dan bebas daripada sebarang campur tangan oleh pihak pengurusan universiti.
Selain itu, pihak universiti juga perlu dipaksa (melalui undang-undang) untuk mengamalkan sikap akauntabiliti dengan menyediakan laporan berkenaan segala tindakan, keputusan dan tindakan tatatertib yang diambil. Mereka perlu menyatakan secara jelas dan telus, atas sebab apa keputusan itu dibuat.
Pihak universiti kadang-kala menggunakan alasan bahawa mahasiswa tidak menggunakan saluran yang betul untuk melegitimasi intimidasi terhadap mereka. Persoalannya, efektifkah saluran tersebut? Adakah penggunaan saluran tersebut menjamin suara pelajar didengari? Sejarah membuktikan bahawa penggunaan saluran betul ini tidak berkesan sama sekali dan sering tidak dilayan oleh pihak pengurusan. Apabila isu-isu ditularkan, barulah ada respons oleh pihak universiti. Itu belum berbicara soal karenah birokrasi yang panjang berjela. Ketidakwujudan maklum balas atau hanya berlakunya komunikasi satu hala juga merupakan salah satu kelemahan “saluran betul” tersebut. Penggunaan saluran betul ini juga tidak menjamin keselamatan mahasiswa.
Perlu dicipta saluran-saluran betul yang baru seperti piket dan protes. Selain itu, suatu papan pemuka (dashboard) yang mengandungi segala aduan, soalan, cadangan dan isu yang dibangkitkan serta respon pihak universiti terhadap perkara terbabit. Strategi ini menjamin ketelusan serta menggalakkan akauntibiliti pihak universiti. Pewujudan “Speakers’ Corner” juga amatlah dialu-alukan.
Kepada para pentadbir universiti: Sahutlah seruan YAB Perdana Menteri dalam menggalakkan kebebasan mahasiswa untuk mengkritik pihak berkuasa. Tidak logik dek akal sekiranya mahasiswa dibenarkan mengkritik kerajaan, namun tidak pihak pengurusan universiti. Hentikan penyelewengan kuasa dan kedudukan dengan mengugut untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap mahasiswa yang bersikap vokal terhadap pentadbiran universiti.
Tuntasnya, intimidasi terhadap mahasiswa perlu dihentikan segera. Dan bagi mengelakkan berulangnya perkara tersebut, solusi-solusi yang dikemukakan wajar dikaji lalu dilaksanakan. Sudah tiba masanya pihak pengurusan universiti melayan pelajar dengan hormat dan tidak mencabul hak mereka terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan akademik. Pemerkasaan mahasiswa tidak dapat dicapai sepenuhnya tanpa penamatan intimidasi berterusan pihak universiti terhadap pelajar yang lantang bersuara. #HentikanIntimidasiMahasiswa
No comments:
Post a Comment