Susulan pembentangan Belanjawan 2025, didapati bahawa mahasiswa tidak lagi menikmati inisiatif-inisiatif yang signifikan. Oleh hal yang demikian, adalah wajar untuk dibangkitkan semula soal inisiatif ini.
Dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, mahasiswa kini memerlukan sokongan yang jauh lebih banyak dari generasi sebelum ini. Perlu diingatkan bahawa mahasiswa ialah mahasiswa, dan bak kata generasi senior, mahasiswa itu tugasnya belajar. Oleh itu, wajarlah jika dikatakan bahawa mahasiswa itu tugasnya juga bukan untuk bekerja bagi menampung beban kewangan. Maka, adalah wajar untuk inisiatif Kad Siswa Rahmah dipertimbangkan dalam kadar segera.
Kad ini boleh direalisasikan dengan menggunakan Kad Prihatin Siswa sedia ada. Negeri Johor telah lebih terkehadapan dalam hal ini dengan pelancaran Kad Siswa Johor baru-baru ini. Adalah tidak patut untuk kerajaan persekutuan ketinggalan dalam kes ini.
Kad ini bukan sahaja boleh diisi dengan wang oleh pihak kerajaan, malah boleh digunakan untuk mahasiswa mendapat diskaun di kedai makan, kedai buku dan sebagainya. Hal ini mampu mengurangkan tekanan kewangan mereka, di samping menggalakkan budaya membaca melalui diskaun pembelian buku.
Kad ini juga boleh digunakan sebagai pengganti "guarantee letter" untuk mahasiswa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan. Mereka tidak lagi perlu bersusah payah untuk mendapatkan GL. Hal ini dapat mengurangkan isu mahasiswa tidak mendapatkan rawatan kerana kekangan kewangan.
Selain itu, kad ini juga boleh digunakan untuk mahasiswa mendapatkan diskaun pengangkutan awam atau e-hailing seperti Grab mahupun teksi. Isu kos pengangkutan yang tinggi sangat membelenggu kehidupan mahasiswa, terutamanya mereka yang terpaksa tinggal di luar kampus di kawasan yang tidak mempunyai jaringan pengangkutan awam yang mantap.
Bercakap pasal diskaun di kedai makan, kad ini juga boleh digunakan untuk mahasiswa membeli Menu Siswa Rahmah atau makanan dengan harga yang lebih rendah di kedai makan di dalam mahupun di luar kampus. Mahasiswa terutamanya mereka yang tinggal di bandar menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan dengan harga yang berpatutan.
Inisiatif Kad Siswa Rahmah ini, jika dilaksanakan dengan komprehensif, bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan mahasiswa tetapi juga melahirkan masyarakat mahasiswa yang lebih berdikari dan berdaya tahan. Dengan sokongan yang menyeluruh dan pelbagai, mahasiswa dapat memberi tumpuan penuh kepada pembelajaran tanpa terganggu oleh tekanan kewangan. Kerajaan persekutuan boleh mengambil contoh daripada negeri Johor serta bekerjasama dengan kerajaan negeri yang lain untuk menjayakan inisiatif ini di seluruh Malaysia.
Secara keseluruhannya, Kad Siswa Rahmah boleh menjadi satu simbol bahawa kerajaan mendengar dan memahami kesusahan serta cabaran yang dihadapi oleh golongan belia, khususnya mahasiswa. Inisiatif seperti ini adalah langkah progresif yang bukan sahaja memenuhi janji manifesto, tetapi juga menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memartabatkan masa depan negara melalui pendidikan tinggi yang lebih inklusif.
No comments:
Post a Comment