Antara isu yang timbul ialah keabsahan sesuatu kerajaan. Contoh khusus ialah keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan PM ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menaiki tampuk kepimpinan negara setelah berlakunya Langkah Sheraton tanpa melalui pilihan raya, kononnya kerana pandemik COVID-19 pada ketika itu.
Walau bagaimanapun, keabsahan beliau sebagai PM tidak pernah terjawab memandangkan tiada undi percaya mahupun undi tidak percaya yang dikenakan terhadapnya semasa memegang jawatan PM. Bahkan, semasa beliau memegang jawatan PM, negara melalui tempoh darurat dan penutupan Parlimen.
Isu ini juga masih digunakan oleh sesetengah pihak yang mempertikaikan keabsahan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai PM ke-10. Walaupun beliau berjaya mengharungi undi percaya pada Disember 2022, jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya masih menjadi tanda tanya. Ada juga pihak yang mendakwa bahawa beliau mempunyai sokongan lebih 2/3 daripada Ahli Parlimen.
Solusi utama bagi menyelesaikan isu ini ialah dengan meminda Perlembagaan untuk memindahkan kuasa melantik PM daripada YDPA kepada Parlimen. Hal ini membolehkan sesiapapun yang ingin menjadi PM, mesti melalui undi di Parlimen, dan bukan lagi dengan menggunakan akuan bersumpah dan lain-lain.
Selain menjamin keabsahan kerajaan, ia juga mempromosikan ketelusan dalam proses pelantikan PM. Amalan ini telah lebih kurang dilaksanakan di negara jiran kita di utara, iaitu Thailand. Semasa entri ini sedang ditulis, Thailand sedang dalam proses pelantikan PM baru melalui Parlimen setelah PM yang lama dilucutkan jawatannya oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand.
Walau bagaimanapun, YDPA masih boleh mempunyai kuasa untuk melantik PM sementara jika tiada seorang individu pun yang mampu mendapatkan sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi. PM interim ini boleh memegang jawatan sehingga ada calon yang berjaya mendapatkan keyakinan Parlimen ataupun sehingga pilihan raya diadakan. YDPA juga mempunyai peranan untuk "melantik" PM yang diundi oleh Parlimen secara rasmi.
Mungkin ada pihak yang akan menentang cadangan ini dengan hujah bahawa ia mengurangkan kuasa YDPA. Namun begitu, reformasi ini perlu bagi mengelakkan institusi diraja di negara ini terpalit dalam gelanggang pertarungan para pemimpin politik. Baru-baru ini misalnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempertikaikan pelantikan PM ke-10 oleh mantan YDPA. Perubahan dalam proses pelantikan dapat menyelesaikan isu sebegini.
Dengan melibatkan Parlimen dalam pelantikan Perdana Menteri, Malaysia boleh memastikan proses yang lebih telus dan demokratik, sejajar dengan amalan yang dilihat di negara demokrasi lain. Perubahan ini boleh menangani kebimbangan legitimasi semasa dan memupuk kerajaan yang lebih stabil dan bertanggungjawab.
Nota: "Parlimen" dalam entri ini merujuk kepada Dewan Rakyat.
No comments:
Post a Comment