Friday, 16 August 2024

TENTANG KOC KHAS WANITA

Baru-baru ini, tular di platform media sosial Twitter tentang cadangan kerajaan untuk merangka sebuah legislasi yang membolehkan lelaki yang menggunakan koc khas untuk wanita dikenakan denda. Ramai pihak yang menyokong usaha ini, namun tidak kurang juga yang membantahnya.

Pada hemat aku, polisi koc khas buat wanita itu sendiri tidak sepenuhnya bagus, namun tidak juga sepenuhnya negatif. 

Sebelum itu, berkenaan cadangan tersebut, aku kurang bersetuju, memandangkan pengenaan denda dilihat tidak begitu berkesan. Hal ini boleh dibuktikan dengan kesalahan-kesalahan lain yang mengakibatkan denda. Jika penalti bagi sesuatu kesalahan ialah denda, kesalahan itu umpama dibolehkan namun dengan sesuatu harga. Amalan denda-mendenda bukan sahaja mengesankan golongan kurang berkemampuan, malah menyebabkan pelanggaran peraturan oleh orang kaya. 

Misalnya, seseorang yang bergaji RM1,000 dan RM10,000 masih perlu membayar kadar denda yang sama. Hal ini hanya mengalakkan orang kaya membuat kesalahan, selain menindas orang miskin. 

Aku hanya akan bersetuju sekiranya kadar denda yang dikenakan berdasarkan pendapatan pelaku. Misalnya, seseorang itu perlu membayar denda sebanyak sepuluh peratus daripada pendapatannya. 

Selain itu, sejauh manakah keberkesanan pendekatan ini? Aku rasa pendekatan yang lebih berkesan ialah dengan memandatkan pesalah untuk mengikuti sesi kaunseling. Pegawai juga mestilah disediakan di koc-koc khas untuk menguatkuasakan polisi.

Kembali kepada hujah berkenaan koc khas wanita, aku berpendapat bahawa ia mewujudkan rasa selamat yang palsu dan tidak menyelesaikan isu pokok berkaitan gangguan seksual. Ia mungkin memberi keselesaan sementara namun tidak menjamin keselamatan. Gangguan masih boleh berlaku di kawasan lain sistem pengangkutan seperti di ruang menunggu, eskalator, lif dan sebagainya. Ia juga secara tidak sengaja mengukuhkan idea bahawa wanita perlu dipisahkan untuk selamat, dan tidak menangani punca gangguan. Untuk rekod, aku tidak menentang polisi ini. Aku juga merupakan mangsa gangguan seksual. Aku faham perasaan menjadi mangsa. Cumanya, aku mahukan pendekatan yang lebih holistik. Fokus patut diberikan kepada mewujudkan budaya di mana gangguan seksual tidak boleh ditoleransi. Penumpuan yang berlebihan kepada satu pendekatan saja juga mengurangkan tekanan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan kempen pendidikan yang lebih meluas untuk mengubah sikap masyarakat.

Selain itu, berbicara soal gangguan seksual, lelaki juga mengalaminya, lazimnya dilakukan oleh saudara sejantina mereka. Bagaimana pula dengan mereka ini? Sebab itu perlu ditekankan untuk mengambil pendekatan yang lebih holistik berbanding hanya memberi tumpuan kepada penyediaan koc khas berasaskan jantina mahupun mengenakan denda. 

Aku bukanlah anti-polisi ini sepenuhnya. Cuma, ia perlulah disertai dengan usaha lain. Aku juga tidak bersetuju dengan cadangan agar wanita diwajibkan untuk memenuhkan koc khas buat mereka terlebih dahulu, terutamanya pada waktu puncak. Antara hujah mereka yang mencadangkan perkara ini ialah kekurangan ruang di koc biasa. 

Pada hemat aku, jika itulah isunya, perlu diusahakan penambahan koc, atau meningkatkan kekerapan tren. Wanita sepatutnya diberikan pilihan untuk menduduki mana-mana koc yang mereka sukai. Ada yang memilih untuk menaiki koc biasa kerana mengikuti pasangan, saudara-mara dan sebagainya.

Kedudukan koc biasa juga memainkan peranan. Sesetengah wanita mungkin memilih untuk menduduki koc biasa yang lebih dekat dengan pintu keluar masuk stesen, terutamanya ketika waktu puncak.


No comments:

Post a Comment