Monday, 23 March 2026

PELAJAR TAK NAK AMBIL PTPTN?

Sepanjang pengajian aku di universiti, ramai pensyarah yang mengeluh, “budak-budak sekarang tak nak ambil PTPTN sebab tak nak hutang.” Sekilas pandang, ia kelihatan logik. Golongan muda tampak terlampau memilih atau tidak bertanggungjawab. Tetapi di sebalik komen ringan ini, tersimpan realiti sistemik yang lebih mendalam namun sering diabaikan.

Pelajar tak menolak ambil PTPTN kerana mereka memilih. Mereka bertindak secara rasional terhadap sistem yang direka untuk mengeksploitasi pendidikan sebagai komoditi. Pinjaman PTPTN wujud dalam konteks di mana kerajaan melihat pendidikan tinggi sebagai pelaburan individu, bukan hak asasi semua rakyat. Setiap ringgit yang dipinjam dan setiap bulan membayar balik, memperkukuh idea bahawa pendidikan adalah untuk keuntungan peribadi, bukan manfaat umum.

Untuk memahami penolakan pelajar, kita mesti melihat ketidaksamaan struktur. Pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan kelas pekerja, yang sudah terdedah kepada kesukaran ekonomi, melihat risiko hutang jangka panjang seperti pilihan hidup terhad, rancangan ditangguhkan, dan kerentanan kewangan. Pensyarah, sebaliknya, menggambarkan semua pelajar seolah-olah berada di "medan permainan" yang sama, menghapuskan dimensi kelas dalam penolakan hutang. Mereka menyalahkan mangsa untuk kegagalan sistemik yang menguntungkan kuasa yang lebih besar.

Tambahan pula, mereka seperti sengaja enggan menyentuh hakikat keadaan para graduan, di mana ramai mengalami kesukaran mencari pekerjaan dengan gaji yang cukup untuk membuat bayaran balik pinjaman PTPTN. Mereka ini juga nanti yang akan bising apabila pelajar tidak membuat bayaran balik pinjaman.

Mereka juga gagal mengakui hakikat bahawa pada masa ini, realitinya, pinjaman PTPTN bukan sahaja menjadi suatu beban apabila pelajar sudah bergraduasi, malah ketika sedang belajar lagi. Kadar pinjaman yang diberikan oleh PTPTN jauh lebih kecil daripada kos sara hidup sebenar, memaksa pelajar mencari sumber kewangan lain untuk meneruskan pengajian. Ada yang sampai buat pinjaman dengan pihak lain seperti bank, malah ah long.

Soalan sebenar bukan mengapa pelajar enggan mengambil pinjaman, tetapi mengapa kerajaan memaksa mereka berhutang. Mengapa pendidikan tinggi tidak dibiayai sepenuhnya oleh negara? Mengapa pelajar terpaksa mempertaruhkan masa depan kewangan mereka untuk mengejar ilmu? Pendidikan yang dibebani hutang adalah alat pengawalan sosial, mengajar generasi muda untuk menerima beban kewangan sebagai norma kehidupan. Pensyarah yang menegur pelajar kerana menolak hutang, walaupun tidak disedari, menyokong logik neoliberal yang mengutamakan pasaran berbanding pembangunan manusia.

Hal ini lebih merungsingkan apabila kita meneliti struktur pembiayaan pendidikan tinggi pada ketika ini. Pelajar miskin dihakimi kerana enggan mengambil pinjaman PTPTN, sementara pelajar kaya menikmati subsidi yang sama banyak dengan pelajar miskin. Situasi ini lebih teruk di universiti tertentu, di mana pelajar kayanya menikmati subsidi yuran pengajian yang berlipat kali ganda lebih tinggi daripada mahasiswa miskin di universiti-universiti awam lain.

Jika kita benar-benar peduli tentang pendidikan dan kesaksamaan, perbincangan mesti berubah: daripada menilai pilihan individu kepada menuntut reformasi struktur. Pelajar tidak sepatutnya terpaksa berhutang untuk mendapatkan ilmu, terutamanya mereka yang miskin. PTPTN tidak seharusnya menjadi keperluan mutlak; pendidikan harus menjadi kebaikan awam, percuma dan saksama untuk semua.

Antara perkara yang boleh dituntut termasuklah penghapusan segala bentuk yuran bagi pelajar berkeperluan, mahupun reformasi kriteria kelayakan inisiatif pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN untuk meliputi mereka yang mendapat keputusan yang "sederhana" dan berlatarbelakangkan golongan kurang berkemampuan.

Universiti juga perlulah memainkan peranan dalam mengurangkan kos sara hidup pelajar yang memerlukan mereka berhutang untuk belajar, termasuklah memastikan penginapan di dalam kampus berada pada jumlah yang mencukupi dan menghapuskan caj-caj tersembunyi seperti yuran semester pendek dan caj permohonan transkrip akademik. Universiti tidak boleh "acah" nasihat pelajar soal pengurusan kewangan, sambil menjadi penyumbang punca kepada masalah kewangan mereka.

Sehingga itu berlaku, pelajar yang menolak pinjaman bukan memilih. Mereka bijak, berhati-hati, dan sedar terhadap sistem yang mengeksploitasi. Menyalahkan mereka mudah; menentang sistem itulah cabaran sebenar. Dan itulah sebabnya teguran moral daripada pensyarah kedengaran kosong dan tidak relevan.

PELAJAR TAK NAK AMBIL PTPTN?

Sepanjang pengajian aku di universiti, ramai pensyarah yang mengeluh, “budak-budak sekarang tak nak ambil PTPTN sebab tak nak hutang.” Sekil...