Misalnya, baru-baru ini, NC baru Universiti Teknologi MARA (UiTM) telahpun dilantik. Beliau merupakan bekas NC Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)¹. Meskipun Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM telah mengeluarkan sebuah kenyataan² agar NC baru yang dilantik mempunyai darah UiTM, Menteri telah melantik seseorang yang asing daripada sistem UiTM.
Antara kekurangan amalan semasa adalah risiko pelantikan NC berdasarkan kepentingan politik Menteri. Oleh kerana Menteri lazimnya merupakan ahli politik dari parti tertentu, pelantikan NC berpotensi dicorakkan oleh agenda politik, bukan semata-mata berdasarkan kelayakan akademik atau kemampuan memimpin institusi pendidikan. Selain itu, perundingan dengan Lembaga Pengarah universiti juga dikhuatiri tidak telus kerana tiada kejelasan mengenai sejauh mana Menteri perlu mematuhi cadangan Lembaga atau boleh bertindak mengikut budi bicara beliau.
Di kesempatan ini, izinkan pengarang mengemukakan hujah balas kepada hujah Menteri Pendidikan Tinggi bahawa pelantikan Naib Canselor tidak melibatkan apa-apa campur tangan politik. Beliau memetik Seksyen 4A Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Pindaan 2019), yang memperuntukkan Jawatankuasa Penasihat bagi pemilihan Naib Canselor. Apa yang beliau sengaja kaburkan adalah hakikat bahawa pelantikan ahli-ahli jawatankuasa itu sendiri dilakukan oleh Menteri. Beliau boleh sahaja melantik orang politik ke dalam jawatankuasa tersebut. Selain itu, proses sedia ada tetap lemah dengan tidak melibatkan pemegang taruh lain dalam ekosistem universiti.
Ketiadaan penglibatan mahasiswa dalam proses pelantikan NC mempunyai implikasi yang serius. Walaupun mahasiswa adalah kumpulan terbesar yang terkesan oleh polisi dan keputusan universiti, mereka langsung tidak mempunyai suara dalam menentukan siapa yang memimpin institusi. Seorang NC yang dilantik tanpa mengambil kira pandangan mahasiswa berpotensi tidak memahami atau tidak mesra terhadap keperluan dan aspirasi mahasiswa. Ini boleh menyukarkan proses dialog atau perbincangan apabila terdapat isu-isu penting yang melibatkan komuniti pelajar, seperti masalah yuran, kebajikan mahasiswa, atau kebebasan akademik. Apabila seorang NC tidak dekat dengan suara mahasiswa, keputusan-keputusan yang dibuat mungkin tidak berpihak kepada kepentingan golongan ini, yang akhirnya merugikan seluruh ekosistem universiti.
Bagi memperbetulkan kecacatan ini, dicadangkan agar perundangan perlu dipinda untuk memastikan Menteri bukan sahaja berunding dengan Lembaga Pengarah universiti, tetapi juga dengan wakil mahasiswa, seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mahupun gerakan-gerakan mahasiswa, selain persatuan kakitangan universiti. Penglibatan mahasiswa dalam proses pemilihan akan memberi mereka ruang untuk menyuarakan pandangan mengenai kriteria dan keperluan yang penting bagi golongan pelajar. Hal ini menjadi praktis di negara jiran kita, Indonesia. Di sana, mahasiswa merupakan antara pihak yang paling berpengaruh dalam dalam arena politik, tidak kira politik nasional mahupun kampus. Mahasiswa juga mempunyai "kuasa" untuk meminta calon-calon Naib Canselor untuk mengeluarkan manifesto serta perancangan mereka untuk universiti sekiranya mereka terpilih nanti.
Setiap calon NC harus mengemukakan manifesto, sama seperti yang dilakukan oleh ahli politik ketika bertanding dalam pilihan raya. Melalui manifesto ini, calon NC dapat memperincikan visi, misi, serta strategi mereka untuk membangunkan universiti. Ini membolehkan komuniti universiti, termasuk mahasiswa, staf akademik, dan pentadbir, menilai setiap calon berdasarkan keupayaan mereka untuk membawa perubahan yang positif.
Pelantikan Naib Canselor yang lebih telus dan melibatkan mahasiswa bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan pentadbiran universiti, tetapi juga boleh memastikan pemimpin universiti yang dipilih benar-benar memahami dan menghargai keperluan seluruh ekosistem universiti. Dengan pindaan perundangan dan reformasi yang dicadangkan, diharapkan proses pelantikan NC akan menjadi lebih demokratik, telus, dan berasaskan merit, bukan hanya didorong oleh kepentingan politik semata-mata.
Seiring dengan usaha ke arah reformasi institusi pendidikan tinggi, adalah penting untuk memastikan setiap keputusan yang diambil berlandaskan kepada kepentingan komuniti universiti keseluruhannya, termasuklah mahasiswa yang merupakan nadi kepada kelangsungan universiti itu sendiri.
No comments:
Post a Comment