Sunday, 5 January 2025

JANGAN NORMALISASI SALAH GUNA KUASA!

Hari ni aku nak ulas tentang satu isu yang sedang hangat diperdebatkan di Twitter. Isu berkaitan hukuman ketuk ketampi terhadap remaja pada sambutan ambang tahun baharu di ibu negara. 

Apa yang aku boleh katakan adalah masyarakat kita suka penyalahgunaan kuasa. Tak pelik kalau pemimpin pun begitu. Pemimpin cerminan rakyat. 

Ada salah seorang yang membangkitkan perihal bidang kuasa pihak polis untuk mengenakan hukuman dalam bentuk ketuk ketampi. Aku dahulu pun rasa benda ni tiada masalah. Tapi sekarang aku lihat ia merupakan masalah yang sangat besar.

Tak payah malu berubah pendirian setelah belajar tentang sesuatu isu dengan lebih mendalam. Yang bermasalah adalah apabila orang dah bangkitkan mengapa perkara ini tidak patut, kau label dia sebagai "woke." Woke tak mengapa, jangan bodoh.

Apa prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan oleh pihak polis dalam mengenakan hukuman ini? Mungkin ketuk ketampi dilihat sebagai hukuman biasa, tapi bukan tak ada kes di mana ia menjurus kepada kecederaan¹, malah kematian². Siapa nak bertanggungjawab kalau jadi apa-apa? 

Jika ada sekalipun hukuman dalam bentuk ketuk ketampi, bukan tugas polis untuk melaksanakannya. Negara kita mengamalkan doktrin pengasingan kuasa (tak mutlak tapi itu topik untuk entri yang lain). Jika pihak polis mengesyaki bahawa para remaja terbabit telah melanggar undang-undang, tugas mereka hanyalah untuk menyiasat dan membawa mereka ke muka pengadilan iaitu mahkamah. Mahkamahlah saja yang berhak menentukan bentuk hukuman kepada para remaja terbabit. Kau pusinglah ikut mana pun, penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis memang telah berlaku dalam kes ini (Tu sebab perlunya IPCMC, bukan IPCC jadah tu).

Pendapat warga maya terbabit dan aku turut disokong oleh badan bukan kerajaan (NGO) Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (MADPET). 

Cakap pasal penyalahgunaan kuasa la kan, rakyat kita ni serius bankrap dari segi moral. Apabila koruptor dibebaskan, kita tak mahu campur tangan cabang kerajaan lain atas alasan boleh dikira penyalahgunaan kuasa. Tapi dalam kes ini, penyalahgunaan kuasa dihalalkan. 

Ada yang mengatakan bahawa hukuman ini bertujuan untuk memberikan pengajaran dan merupakan budi bicara polis. Pengajaran apanya? Kajian mana yang kata hukuman ketuk ketampi ini berkesan dalam mengelakkan berlakunya kes sebegini? Nak ajar orang tak boleh la ikut tekak kau saja. Negara ini ada undang-undang. Kalau undang-undang lemah, gesa pinda. Kalau semua benda nak ikut tekak sendiri, baik tak payah ada undang-undang. Dan segala polisi perlulah berdasarkan bukti ataupun evidence-based, bukannya emosi dan apa yang kau "rasa" efektif.

Usah berselindung di sebalik argumen "beri pengajaran" kerana ketuk ketampi tak pernah terbukti berkesan dalam memberi pengajaran. Mengaku sajalah yang kalian ni tak kisah pun pasal isu basikal lajak. Sebab itulah kalian terus-menerus sokong bentuk hukuman yang tak efektif. Kalian hanya mahu hiburan dengan melihat para remaja ini didenda ketuk ketampi. Dah macam Hunger Games versi "lite" pun ada. Kanak-kanak terseksa jadi hiburan. 

Cakap pasal budi bicara pula, siapa yang kata polis ada bidang kuasa budi bicara? Jika adapun, ada ke berkaitan jalankan hukuman ketuk ketampi? Apa beza budi bicara ini dengan kes di mana polis meminta habuan untuk tidak menyaman pesalah trafik tempoh hari? Kedua-duanya mengecualikan pesalah daripada dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada. Berbicara soal itu, satu lagi sebab mengapa hukuman sebegini bermasalah ialah ketidakadilan dalam penguatkuasaan. Rakyat Malaysia adalah sama rata di bawah undang-undang. Kalau polis boleh kenakan hukuman sebegini dekat pesalah, bagaimana dengan pesalah dalam kes lain? Kenapa ada dalam kalangan mereka yang dikenakan hukuman yang lebih berat? Adilkah di situ? 

Ke mana perginya prinsip Rukun Negara yang keempat, Kedaulatan Undang-undang? Pusinglah ikut manapun, penyalahgunaan kuasa tetap penyalahgunaan kuasa. Jangan kecam kalau ibu bapa yang bertindak untuk menyaman pihak berkuasa kalau jadi apa-apa, sebab perkata itu memang di luar bidang kuasa mereka. 

Rakyat Malaysia, sejujurnya, aku rasa perlu buka minda. Kau tak setuju dengan pendapat orang, nyatakan hujah kau sekali. Bukan hanya reti label-melabel saja. Nampak sangat kau tak ada isi dan bacul. Sembang orang manjalah, lembiklah, tisulah tapi diri sendiri pun bacul.

Terdapat juga yang menyorok di sebalik hujah "cikgu denda ketuk ketampi kat sekolah tiada isu pun." Sebenarnya, ada. Itu juga boleh dikira sebagai penyalahgunaan kuasa, lebih-lebih lagi kalau dilaksanakan oleh guru yang bukan guru disiplin. 

Yang kelakarnya, ramai netizen mengaku bahawa hukuman ini tidak berat dan tidak berkesan, tetapi apabila orang minta hukuman yang lebih berkesan, dikatakannya sebagai "manja." Manja apanya? Reput sangat otak masyarakat ni sampai mahu hukuman yang lebih berat (bukan berat pun tetapi lebih berkesan) dikatakan manja. Terserlah ketololan di situ. Yang manja inilah yang mahu lihat para remaja ini ubah perangai mereka. Kau pula sebaliknya. Dalam kes ini, kau masih anggap kau terpaling mulia?

Kemudian, apabila isu sebegini berlaku lagi, salahkan lagi budak-budak walhal kita sebagai orang dewasa ni yang gagal dalam mendidik. Tanpa sedar juga kita sedang menggalakkan budaya keganasan dalam menyelesaikan gejala sosial. Apabila keluar berita berkenaan buli, kemain orang ramai berpusu-pusu mengecam pembuli tanpa sedar kita juga patut dipersalahkan.

Baru sahaja aku tulis entri berkenaan fatwa. Rakyat Malaysia ni memang pelik. Fatwa perlu diikut sebab ia dibuat setelah penelitian mendalam, tetapi undang-undang dianggap tidak perlu diikut dan budi bicara perlu diutamakan. 


No comments:

Post a Comment