Pada pandangan sesetengah orang, mungkin ini sesuatu yang boleh diterima, memandangkan AI dilihat sebagai alat canggih dan berguna. Namun, pada hemat aku, terdapat banyak keburukan yang timbul akibat daripada AItivisme.
Menggunakan gambar janaan AI sebagai alat untuk aktivisme bukan sahaja menjijikkan tetapi juga mencemarkan nilai perjuangan sebenar. Ia seolah-olah membuatkan masalah dan isu yang diperjuangkan tampak tidak sahih—hanya rekaan semata-mata oleh mesin tanpa jiwa. Gerakan yang patut dipandu oleh emosi, pengalaman manusia, dan kesedaran sosial tiba-tiba dilucutkan daripada keaslian.
Sebagai contoh, dalam memperjuangkan isu seperti kemiskinan atau ketidakadilan, menggunakan imej yang dihasilkan oleh AI boleh menimbulkan persoalan sama ada masalah ini benar-benar wujud atau sekadar gimik digital. Kesan ini menjadikan orang ramai lebih skeptikal dan kurang bersimpati terhadap perjuangan yang disampaikan.
Terkini, ChatGPT pula digunakan dalam aktivisme. Ini menimbulkan persoalan: Mengapa perlu menggunakan ChatGPT? Adakah kita tidak lagi mempercayai maklumat yang datang dari manusia sebenar, daripada kajian terperinci, atau daripada pengalaman hidup yang penuh emosi dan perjuangan?
Aktivisme bukan sekadar tentang menyebarkan maklumat. Ia tentang menggerakkan hati manusia, memupuk rasa simpati dan kemarahan terhadap ketidakadilan, dan itu memerlukan sentuhan peribadi yang tak mungkin digantikan oleh algoritma. ChatGPT boleh menulis dengan baik, tetapi ia tidak boleh benar-benar memahami keperitan yang dihadapi oleh seseorang yang terkesan.
Logiknya mudah: penggunaan AI dalam aktivisme ini lebih teruk daripada memetik maklumat dari Wikipedia. Walaupun Wikipedia sering dikritik, sekurang-kurangnya ia melampirkan sumber-sumber yang boleh dirujuk dan dinilai kesahihannya. Ini tidak berlaku dalam kes ChatGPT. AI seperti ChatGPT tidak menawarkan sumber rujukan yang jelas; ia adalah hasil ramuan daripada pelbagai teks tanpa ketelusan mengenai asal-usul maklumat.
Kebergantungan kepada AI dalam aktivisme menyebabkan satu lagi isu: ia mengurangkan tahap kepercayaan terhadap maklumat yang disampaikan. Apabila orang mengetahui bahawa artikel, gambar, atau kenyataan dibuat oleh mesin, mereka mungkin kurang mempercayai kesahihan atau kejujuran gerakan tersebut.
Malah, hampir semua teknologi AI dimiliki oleh syarikat besar Barat seperti OpenAI, Google, dan Meta yang bukan sahaja beroperasi di negara-negara imperialis malah bersubahat dalam apa yang berlaku di Timur Tengah sana.
Oleh itu, sudah tiba masanya untuk berhenti menjebakkan diri dalam AItivisme ini. Terdapat banyak lagi cara lain untuk berjuang yang lebih tulus dan berkesan. Aktivisme memerlukan suara yang datang dari pengalaman sebenar, bukan suara digital tanpa jiwa. Jika kita mahu menukar dunia, biarlah perubahan itu datang daripada hati, bukan komputer.
No comments:
Post a Comment