Di Malaysia, umur bersara wajib bagi penjawat awam adalah 60 tahun. Namun begitu, ia tidak terpakai bagi jawatan politik seperti Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, Senator, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sebagainya. Kesannya, ramai penjawat jawatan yang disenaraikan yang berusia 60 tahun dan ke atas.
Ramai ahli politik yang meninggal dunia semasa mereka memegang jawatan, yang kadangkala menyebabkan kekosongan yang memerlukan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK). PRK bukan hanya memakan kos malah boleh membantutkan proses pentadbiran dan pembuatan keputusan. Ada juga ahli politik yang menghidap pelbagai penyakit, menghalang mereka menjalankan tugas dengan sempurna. Selain itu, perspektif baru oleh golongan muda juga jarang diangkat kerana berlawanan dengan idea ahli politik sedia ada, menyebabkan genangan idea.
Bagi menyelesaikan isu ini, adalah dicadangkan untuk diperkenalkan had tempoh jawatan bagi perjawatan tertentu, terutamanya jawatan di cabang eksekutif seperti Perdana Menteri. Langkah ini dilihat lebih sesuai berbanding memperkenalkan umur persaraan.
Pengenalan had tempoh jawatan politik memberi ruang kepada golongan muda yang kaya dengan idea segar untuk memimpin negara. Di samping itu, ia juga boleh mengelakkan pengumpulan kuasa terlalu lama oleh beberapa individu tertentu, seterusnya mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa. Seterusnya, ia juga boleh menggalakkan lebih ramai individu berbakat dan berwibawa menyertai politik kerana ada peluang lebih besar untuk menikmati perkembangan kerjaya.
Apabila pemimpin tahu bahawa mereka mempunyai masa yang terhad untuk berkhidmat, mereka juga akan lebih cenderung untuk memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat, berbanding mengejar agenda peribadi atau mengekalkan kuasa.
Tuntasnya, sudah tiba masanya untuk Malaysia memperkenalkan had tempoh bagi semua jawatan politik. Dengan pengenalan tersebut, Malaysia boleh memastikan bahawa kepimpinan negara sentiasa segar dan relevan dengan keperluan dan cabaran semasa, sekaligus memacu kemajuan tanah air.
Mustaqim Badrul Hisham
No comments:
Post a Comment