Pengumuman ini disambut dengan pujian oleh ramai pihak sebagai langkah progresif menangani isu lama yang mendatangkan kesusahan hidup, khususnya bagi ibu dan anak-anak yang bergantung kepada nafkah. Pada pandangan umum, kegagalan membayar nafkah sering ditafsir sebagai kegagalan moral, di mana bapa digambarkan sebagai malas atau tidak bertanggungjawab.
Namun, jika diteliti secara kritikal, pendekatan ini disproportionate terhadap bapa dari kalangan kelas pekerja. Tidak semua kegagalan membayar nafkah berpunca daripada sifat peribadi yang lemah; banyak kali ia adalah akibat tekanan struktur ekonomi yang lebih luas. Golongan proletariat terdiri daripada pekerja bergaji rendah, buruh sambilan tanpa perlindungan, dan mereka yang hidup dalam ketidakstabilan ekonomi, mereka yang seringkali tidak mampu menampung kewajipan kewangan kerana sistem kapitalis yang mengeksploitasi tenaga kerja mereka.
Kegagalan membayar nafkah dalam konteks ini bukanlah kegagalan moral, tetapi simptom kegagalan struktur ekonomi. Ia seumpama krisis hutang PTPTN: ramai graduan bukan tidak mahu membayar balik pinjaman, tetapi tidak mampu kerana beban kewangan yang tidak seimbang dengan pendapatan. Begitu juga, ramai bapa yang terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang meningkat, perumahan yang mahal, dan peluang pekerjaan yang terhad.
Hukuman sosial dan naratif yang menuding jari kepada individu dengan menyiratkan bahawa keculasan membayar nafkah adalah soal kegagalan moral sebenarnya adalah ideologi borjuis yang menutup mata masyarakat terhadap kegagalan struktur. Kapitalisme bukan sekadar mencipta jurang kaya-miskin; ia memaksa kelas pekerja menanggung tanggungjawab kewangan yang mustahil dipenuhi, sambil memusatkan simpati dan sumber hanya kepada mereka yang berada dalam kelas menengah ke atas. Dalam konteks ini, individu dilihat bersalah, sedangkan sistem yang menindas dibiarkan bebas daripada pengawasan.
Rancangan untuk melakukan penyitaan aset, penahanan pendapatan, hiwalah, dan penjualan harta tiada gunanya jika seseorang bapa atau suami itu tiada aset untuk disita, tiada pendapatan mencukupi untuk ditahan, dan tiada harta untuk didagangkan.
Nafkah tertunggak bukanlah kegagalan moral bapa, juga bukan konflik gender. Ia adalah manifestasi penindasan kelas, di mana sistem kapitalis mencipta keadaan ekonomi yang menjadikan ramai lelaki daripada kelas pekerja tidak mampu memenuhi tanggungjawab ini. Menjadikannya isu gender hanya menutup musuh sebenar: ketidaksamaan struktur.
Daripada menumpukan perhatian kepada hukuman individu, fokus sepatutnya diberikan kepada pembaikan sistemik:
1. Pekerjaan yang dijamin dengan gaji yang mampu menampung keluarga.
2. Gaji minima yang selaras dengan kos sara hidup.
3. Sistem penjagaan kanak-kanak awam dan percuma, untuk meringankan beban ibu bapa.
4. Rangkaian keselamatan sosial yang kukuh, membolehkan keluarga hidup bermaruah tanpa ketakutan kewangan.
Hanya apabila struktur ekonomi dibentuk semula untuk keadilan sosial, isu “tunggakan nafkah” akan menjadi masalah yang benar-benar boleh diatasi, bukannya simbol penindasan dan kegagalan individu.
Oleh itu, jika kita benar-benar ingin membebaskan keluarga daripada belenggu kewangan dan masalah nafkah tertunggak, kita perlu memindahkan perdebatan dari moral peribadi ke struktur ekonomi. Nafkah tertunggak bukanlah kegagalan moral bapa; ia adalah kegagalan sistem kapitalis yang menindas, yang meletakkan golongan pekerja pada kedudukan yang mustahil untuk memenuhi kewajipan mereka.